Bekalan minyak dijangka kering 1 Januari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna dijangka akan berhadapan dengan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (Bumipeda), Datuk Abu Samah Bachik, berkata, perkara itu mungkin terjadi kerana berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

“Sudah pasti kita tidak mahu menambah simpanan minyak pada penghujung bulan pada harga yang mahal, namun terpaksa jual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari.“Jika sebelum ini kerajaan menggunakan sistem apungan harga mengikut bulanan, kita masih boleh beroperasi dengan membuat keuntungan jualan bagi menampung kos operasi.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan menggunakan semula apungan harga bahan api secara mingguan dan berkuat kuasa 1 Januari ini bakal mencetuskan kerugian kepada pengusaha,” katanya memetik laporan itu, hari ini.

Sebelum ini, sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.

Menurutnya, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019, membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

Harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abu Samah mengakui keengganan pengusaha stesen menambah simpanan minyak dalam tangki mungkin dilihat sebagai protes, namun percaturan itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian ketara.

“Sepatutnya kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan, jemputlah kami untuk berunding dan memberi laluan untuk menyuarakan pandangan supaya apa saja penyelesaian yang dilakukan bersifat ‘menang-menang’.

“Memang betul tanggungjawab kerajaan ialah untuk menjaga kebajikan pengguna, namun kami sebagai pengusaha stesen minyak perlu menampung operasi dengan menjana keuntungan.

“Bagaimana kami nak meneruskan operasi dan memenuhi permintaan pengguna jika wujud ketidakadilan dalam keputusan kerajaan berkaitan mekanisme penetapan harga minyak di pasaran,” katanya.

Menyuarakan penyelesaian, Abu Samah berkata langkah terbaik ialah menggunakan penetapan harga bahan api di pasaran secara bulanan, sekali gus memudahkan pengusaha stesen minyak menguruskan pembelian simpanan dan kadar penjualan kepada pengguna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!