Tumpu pembangunan koperasi sekolah, realisasi negara keusahawanan 2030

Abdul Fattah - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Fattah - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap pembangunan koperasi-koperasi sekolah di negara ini sebagai platform merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN).

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, terdapat 2,421 koperasi di sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang berpotensi besar dalam melahirkan generasi usahawan muda.

Bagaimanapun menurutnya, beberapa perkara menjadi kekangan untuk koperasi-koperasi bernaung di bawah Angkasa ini untuk berkembang justeru kerajaan harus memberi perhatian perkara tersebut.

Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah (kiri) menerima borang keahlian Angkasa daripada wakil Koperasi, Pengarah Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Amran Abdul Kadir (dua dari kiri) bersama Pengerusi Angkasa Wilayah Persekutuan, Zulkifli Jamaludin (dua kanan) dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM, Zuhaini Romli (kanan) pada Majlis Dialog Pemerkasaan Perniagaan Koperasi Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah (kiri) menerima borang keahlian Angkasa daripada wakil Koperasi, Pengarah Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Amran Abdul Kadir (dua dari kiri) bersama Pengerusi Angkasa Wilayah Persekutuan, Zulkifli Jamaludin (dua kanan) dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM, Zuhaini Romli (kanan) pada Majlis Dialog Pemerkasaan Perniagaan Koperasi Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

“Angkasa mengalu-alukan hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat keusahawanan dan sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk merealisasikan hasrat ini.

“Dalam konteks ini, untuk melahirkan masyarakat keusahawanan mesti bermula di peringkat sekolah. Jadi Angkasa menyarankan agar budaya keusahawanan diberi penekanan melalui koperasi sekolah yang kini mempunyai 1.6 juta keahlian.

“Jadi kerajaan perlu menyediakan insentif atau sebarang bentuk pemudah cara membolehkan koperasi-koperasi ini dibangunkan,” katanya ditemui pada Majlis Penerangan dan Dialog kepada Koperasi Baru untuk Menjadi Ahli Angkasa 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Suhaini Romli dan Pengerusi Angkasa Wilayah Persekutuan, Zulkifli Jamaludin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa akan memberi usul berhubung perkara-perkara yang perlu diberi perhatian kerajaan menerusi pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang sedang diaturkan.

Katanya, kekangan yang dihadapi guru-guru yang bertanggungjawab menguruskan koperasi antara yang perlu diperbaiki.

“Kita harap supaya koperasi sekolah ini dapat polisi yang jelas tentang koperasi. Sekarang ini ada sekolah yang memberi keutamaan terhadap koperasi, ada yang tidak.

“Ini bergantung kepada pihak sekolah. Ada sekolah anggap koperasi hanya kegiatan kokurikulum. Banyak kekangan yang kita akan cadang kepada Kementerian Pendidikan untuk memperbaiki. Khususnya dari segi masa guru-guru yang menjaga dan diberi tanggungjawab untuk uruskan koperasi,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional yang meletakkan Malaysia sebagai negara keusahawanan tulen menjelang 2030.

Antara objektif itu adalah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan.

Usaha itu disokong menerusi salah satu strategi yang digariskan iaitu koperasi sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!