Final Piala FA: Jangan bawa bahan terlarang

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) pada sidang media mengenai Kawalan Keselamatan dan Lalu Lintas bagi Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) pada sidang media mengenai Kawalan Keselamatan dan Lalu Lintas bagi Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

POLIS memberi amaran keras kepada penonton supaya tidak membawa sebarang bahan terlarang ketika menyaksikan final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata bahan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras, payung dan tongkat dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.

Beliau berkata, 1,375 pegawai dan anggota polis akan bertugas untuk menjaga keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlawanan itu.

“Penugasan kawalan trafik bermula jam 8 pagi, manakala kawalan keselamatan mulai jam 3 petang. Kita juga akan melakukan pemeriksaan badan dan beg.

“Kita berharap pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengambil tindakan terhadap individu yang merokok di kawasan stadium, di mana 450 orang bertugas bagi pihak PSM,” katanya pada sidang media kawalan keselamatan dan lalu lintas menjelang perlawanan itu, di ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Polis turut memberi amaran keras kepada ulat tiket supaya tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual tiket dengan harga yang tinggi untuk aksi final Piala FA itu.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu didapati menjual tiket secara haram menjelang pertembungan antara dua gergasi utara, Kedah dan Perak pada perlawanan akhir itu.

“Kami menyeru orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas dengan serta merta sekiranya wujud ulat tiket di kawasan stadium. Kita perlukan maklumat kerana mereka hanya mendekati orang ramai dan menjauhkan diri daripada polis.

Artikel Berkaitan:

“Pemegang tiket palsu juga tidak boleh memasuki stadium kerana kita akan menggunakan pengimbas untuk imbas tiket, hanya pemegang tiket sah boleh memasuki stadium. Pintu masuk ke stadium akan dibuka mulai jam 4 petang,” katanya.

Sebanyak 80,000 tiket termasuk 2,000 bagi kanak-kanak, dengan harga RM50 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, diperuntukkan untuk aksi final itu.

Pasukan Lang Merah dan skuad Seladang, masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket untuk kanak-kanak, manakala selebihnya dijual secara dalam talian.

Juara empat kali, Kedah mara ke final selepas mengetepikan Felda United berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 3-3, manakala juara dua kali, Perak mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas juara bertahan, Pahang.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!