Najib akan mohon tangguh prosiding tuntutan cukai pendapatan RM1.69 bilion

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas prosiding perbicaraan membabitkan dana SRC International disambung Isnin depan. Foto: Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas prosiding perbicaraan membabitkan dana SRC International disambung Isnin depan. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu media bahawa peguam LHDN memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka juga merancang untuk memfailkan permohonan penghakiman terus (walaupun terdapat rayuan terhadap penilaian cukai).

Penghakiman terus bermaksud penghakiman yang dibuat oleh mahkamah untuk satu pihak atas usul pihak lain berdasarkan fakta yang disediakan tanpa perbicaraan penuh.

“Hari ini adalah pengurusan kes bagi kes tuntutan cukai yang saya hadiri melalui e-review. Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami berhasrat memfailkan penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan kami terhadap penilaian kepada LHDN.

“ Ini bukan kes bayar sekarang dan bincang kemudian, kerana bayar sekarang sebanyak RM1.69 bilion yang akan menjadikan anak guam kami muflis dan menyebabkan beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen. Itulah sebabnya kami akan memfailkan penangguhan prosiding perkara ini sementara menunggu penyelesaian penilaian,” katanya.

Pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail.

Muhammad Farhan berkata mahkamah menetapkan 30 Ogos bagi pengurusan kes di hadapan Nurliana.

Pada 25 Jun, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman itu terhadap Najib yang meminta beliau membayar RM1,692,872,924.83, faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan memaklumkan bahawa seperti yang dinyatakan melalui notis penilaian tambahan bertarikh 20 Mac 2019, penilaian cukai tambahan ke atas pendapatan Najib bagi tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 adalah RM116, 173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41.

Kerajaan mendakwa notis itu dihantar melalui pos berdaftar kepada Najib pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dekat sini dan surat tersebut tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Ia mengatakan bahawa memandangkan Najib gagal membayar cukai dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, jumlah itu meningkat sebanyak 10 peratus, berjumlah RM11,617,337.41; RM32,092,993.23; RM89,157,346.54; RM11,914,465.55; RM1,687,950.00; RM64,344.52 dan RM34,647.14 bagi tahun taksiran masing-masing dari 2011 hingga 2017.

Najib diberi 60 hari untuk membayar cukai itu, bersama-sama dengan kenaikan 10 peratus, tetapi mendakwa Najib masih gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Najib dikenakan kenaikan lima peratus lagi daripada kenaikan 10 peratus itu, berjumlah RM6,389,535.57; RM17,651,146.27; RM49,036,540.60; RM6,552,956.05; RM928,372.50; RM35,389.48 dan RM19,055.92 bagi tahun taksiran yang ditetapkan, menjadikan jumlah keseluruhan cukai pendapatan berjumlah RM RM1,692,872,924.83, katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!