Penghuni kuarters PGA berpayung dalam tandas

Abu Hassan menggunakan payung sebagai alternatif mengelak masalah kebocoran serius di tandas rumahnya sejak 10 tahun lalu.
Abu Hassan menggunakan payung sebagai alternatif mengelak masalah kebocoran serius di tandas rumahnya sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Keadaan struktur rumah yang reput dan kebocoran di beberapa tempat hingga menyebabkan ada penghuni yang terpaksa berpayung dalam tandas.

Itu keadaan berlaku di kuarters kediaman polis di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini sejak beberapa tahun lalu.

Meskipun kuarters yang mula dibina pada 1967 itu telah melalui beberapa peringkat baik pulih, kerosakan sama dikatakan masih berulang hingga mendatangkan risiko keselamatan dan kurang selesa kepada penghuninya.

Koperal Abu Hassan Alias, 53, yang mendiami tingkat 2 Blok U sejak 20 tahun lalu terpaksa meletakkan payung di tandas bagi menghalang titisan sisa najis dari bahagian atas akibat masalah kebocoran.

Menurutnya, pada awal dahulu, dia yang tinggal bersama isteri dan lima anak masih mampu bertahan kerana kebocoran itu tidaklah terlalu serius berbanding lewat lima tahun kebelakangan ini.

"Walaupun sudah dibaiki, masalah sama masih jadi malah makin laju pula air yang menitis menyebabkan timbul bau kurang menyenangkan.

"Setakat ini, sudah lebih 10 payung berganti sampai akhirnya kami buat keputusan untuk tidak lagi menggunakan tandas ini," katanya ketika ditemui media hari ini.

Artikel Berkaitan:

Abu Hasaan menunjukkan kesan kebocoran di bahagian tandas unit rumahnya di Blok U.
Abu Hasaan menunjukkan kesan kebocoran di bahagian tandas unit rumahnya di Blok U.

Dia yang mendiami dua unit rumah secara bersebelahan memberitahu, pernah beberapa kali mentol digunakan meletup dipercayai akibat kesan kebocoran menyebabkan litar pintas berlaku.

"Unit ini tiga anak lelaki saya yang duduk, tapi bila perlu gunakan tandas, dia akan ke rumah sebelah tempat dimana saya, isteri dan anak perempuan saya tinggal," katanya.

Ketika tinjauan dilakukan, blok setinggi 10 tingkat itu turut mengalami kerosakan lif.

Beberapa kuarters lainnya juga dilihat tidak diselenggara dengan baik dengan cat yang sudah luntur hingga menyebabkannya kelihatan usang.

Koperal Mohd Harman Mat Yasim, 38, yang tinggal di tingkat 2 Blok AA sejak sembilan tahun lalu turut berdepan masalah sama.

Katanya, rumah yang didiami bersama isteri dan lima anak termasuk sepasang bayi kembar perempuan berusia lima bulan mengalami masalah reput akibat kebocoran.

Mohd Harman menunjukkan kesan reput akibat kebocoran di unit didiaminya di Blok AA.
Mohd Harman menunjukkan kesan reput akibat kebocoran di unit didiaminya di Blok AA.

"Walaupun setiap tahun ada kerja penyelenggaraan dibuat, masalah sama tetap berulang dan kebiasaannya di bahagian atap tandas.

"Seperti di rumah ini, masalah bocor menyebabkan dinding berkulat dan banyak bahagian-bahagian rumah lain jadi reput," katanya.

Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta menempatkan 27 blok kediaman polis pangkat rendah dan awam dengan 15 daripadanya merupakan bangunan 10 tingkat dan 12 blok (4 tingkat) dibina antara tahun 1967 hingga 1981.

Tiga daripada blok berkenaan tidak lagi boleh digunakan atas faktor keselamatan akibat kerosakan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkesempatan meninjau keadaan kuarters di kem berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Sumber Manusia peringkat Kementerian Dalam Negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!