Unit Komunikasi Korporat kementerian perlu lebih agresif

Suarini - Foto Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
Suarini - Foto Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Komunikasi Korporat (UKK) di setiap kementerian perlu memainkan peranan yang lebih agresif bagi menangani masalah berkaitan tempoh maklum balas (respons time) yang dilihat agal lambat dalam menjawab atau membetulkan fakta yang dimanipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad berkata, apabila terdapat isu yang diputarbelitkan atau disalah tafsir mengenai kerajaan, maka UKK setiap kementerian perlu mengambil tindakan dengan sesegera yang mungkin.

Justeru, beliau menyarankan agar kesemua UKK menggunakan KKMM sebagai medium untuk 'melawan kembali' dengan fakta yang tepat.

"Respons kerajaan terhadap sesuatu isu adalah berlandaskan kepada fakta di mana kerajaan melalui kementerian perlu mendapatkan maklumat yang paling tepat... namun isu masa itulah cabarannya... perlu dapatkan fakta berkenaan dengan tepat tetapi pada kadar segera.

"Jadi saya sedang berusaha untuk bekerjasama dengan semua UKK agar dapat menggunakan KKMM bagi 'fight back' dan dalam masa sama mendepani cabaran untuk menjawab dan memberi maklum balas dalam masa yang singkat," katanya kepada Bernama ketika mengunjungi ibu pejabat pertubuhan berita itu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat oleh pengurusan tertinggi Bernama iaitu Pengerusi, Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Nurini Kassim, Pemangku Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Fuad Yahya serta pegawai-pegawai kanan lain.

Suriani kemudiannya melawat dan melihat sendiri operasi Bernama Radio, Meja Multimedia Bernama, Bernama News Channel serta Jabatan Pengarang Bernama.

Dalam pada itu, beliau menggesa Bernama agar turut mempromosikan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan agensi pertubuhan itu agar rakyat mengetahui bahawa Bernama turut menyediakan pelbagai perkhidmatan selain berita.

Artikel Berkaitan:

"Bernama harus melangkah lebih pantas lagi untuk memulakan model perniagaan yang berteraskan kepada pemasaran foto, pemasaran klip-klip video misalnya... servis seperti ini mungkin ramai orang tidak menyedari kewujudannya maka ia perlu dipertingkatkan.

"Saya bangga kerana Bernama sudah pun mengikut peredaran semasa dan banyak teknologi baharu telah diaplikasikan di sini, cumanya jangan tertinggal sedikit, satu tapak atau satu saat sekalipun dengan keupayaan teknologi pada masa sekarang... perlu sentiasa ‘keep on track’," katanya.

Beliau seterusnya mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat di UKK Bernama pada tahun 1992 sebagai pekerjaan pertamanya selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!