Dewan Negara luluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019
KUALA LUMPUR - Selepas 10 hari Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara hari ini dengan majoriti dua per tiga.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
“Berikutan perkembangan ini, maka belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, langkah ini bertujuan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya. - Bernama
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!