Bapa curi gogal untuk kelengkapan anak berkhemah
KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak memberi alasan bertindak mencuri tiga gogal untuk anaknya ketika ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Nerus semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 36 itu memerlukan cermin mata itu untuk dua anaknya masing-masing darjah dua dan tadika untuk dibawa berkhemah anjuran sekolah masing-masing dalam tempoh terdekat.
Dia yang kini tidak bekerja memberi alasan tersebut ketika disoal siasat selepas ditahan pengawal keselamatan bertugas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut kira-kira jam 7.30 malam.
Menurut sumber, sebelum itu, suspek yang turut mencuri pelbagai lagi barangan lain berjumlah keseluruhan RM145.10 berlagak selamba keluar melalui pintu keluar pasar raya.
"Penggera kecemasan berbunyi selepas dia melintasi pintu dan pengawal keselamatan mengarahkan dia ke tepi untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun, suspek yang ketika itu sedang menyandang sebuah beg dipercayai turut dicuri cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap di tepi jalan berhampiran pasar raya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, hasil pemeriksaan di dalam beg sandang menjumpai satu set 'allen key', tiga gogal dan satu set sarung tangan dapur.
Dalam pada itu, Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Rusila Nik membenarkan lelaki itu direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!