'Peniaga jangan nak untung sahaja'
KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mahu peniaga agar tidak menjual makanan ringan kepada pelajar sekolah kerana ianya boleh memudaratkan kesihatan.
Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Fared Abd Ghani berkata, penjualan 'Ghost Smoke Cool Fruit Powder' atau gula-gula asap sebagai contoh tidak boleh dijual sewenang-wenangnya.
“Sudah tiba masanya peniaga mengambil peduli isu ini, jangan terlalu memikirkan keuntungan sehingga mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik masyarakat untuk memilih makanan yang sihat dan berzat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, gula-gula itu kian popular kerana ia akan mengeluarkan asap seakan-akan menyerupai rokok dan ini yang akan membawa budaya negatif kepada pelajar sekolah.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil dan pihak berwajib harus memantau dan merampas gula-gula terbabit dari premis yang masih menjualnya.
“Dengan harga yang sangat murah iaitu RM0.50 sahaja, semua orang mampu membelinya dengan mudah.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah gula-gula tersebut seolah-olah mahu menarik perhatian kanak-kanak untuk meniru gaya menghisap rokok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!