Maqis rampas hasil pertanian lebih RM75,000 cuba seludup ke Indonesia

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas pelbagai hasil pertanian dianggar bernilai RM75,391 yang cuba diseludup ke Indonesia dalam pemeriksaan ke atas sebuah bot dagang di Jeti Perai di sini hari ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, seorang tekong dan tiga kru lelaki warga Indonesia berusia antara 20 dan 40 tahun yang mengendalikan bot itu dipercayai cuba membawa keluar hasil pertanian tanpa dokumen yang sah seperti permit eksport.

"Terdapat barangan keluaran pertanian seperti rumpai laut kering sebanyak 40 paket, minyak bijan (12 botol), kaskatti 2,316.15 kilogram (kg), kunyit (253kg), kaskas (3,094kg) dan getah anggur (253kg).

"Selain itu 50.4kg biji benih sawi, gandum (25.75kg), garam bukit (133.8kg) dan guni kain sebanyak 41 guni ditemui dalam bot itu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantindan Pemeriksaan Malaysia 2011 iaitu mengeksport produk keluaran pertanian tanpa permit yang sah.

"Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di semua pintu masuk negara di Pulau Pinang bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan dibawa masuk atau keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!