Panduan pembelian ubat atas talian
UNTUK melariskan jualan biasanya janji-janji manis akan diberikan hingga pengguna 'tergoda'.
Usah begitu, jangan mudah termakan ayat-ayat manis yang dijanjikan oleh penjual terutamanya berkaitan dengan ubat.
Perlu juga sentiasa ada dalam diri rasa syak wasangka jika anda tidak pasti akan kandungannya ketika melihat iklan tersebut di laman sosial.
Ikuti tip ini untuk membantu anda membeli ubat di laman atas talian:
1. Ubat berdaftar
Hanya boleh membeli ubat berdaftar yang dikategorikan sebagai over-the-counter(OTC), tradisional dan suplemen kesihatan sahaja dengan mempunyai nombor pendaftaran yang ditulis No. MAL diakhiri dengan X, T atau N sahaja.
No. MAL yang diakhiri dengan A adalah dikategorikan sebagai ubat terkawal (memerlukan preskripsi).
2. Ubat preskripsi
Anda harus maklum ubat yang memerlukan preskripsi tidak boleh dijual secara online.
Ubat preskripsi hanya boleh didapati melalui pengamal perubatan berdaftar sahaja dan 'didispens' oleh ahli farmasi berlesen sahaja.
3. Elak beli ubat luar dari laman web luar negara dan media sosial.
4. Jangan mudah terpedaya
Jangan terpedaya dengan iklan yang mengandungi janji-janji manis dan kenyataan superlatif seperti ‘terbaik’, ‘berkesan’, ‘dijamin selamat’, ‘mujarab’ dan lain-lain seumpamanya.
Perlu diingatkan pembelian ubat secara online daripada sumber yang tidak sah berkemungkinan anda mendapat ubat yang tidak berdaftar, ubat tiruan atau ubat yang dicemari racun berjadual yang boleh memudaratkan nyawa anda.
Sumber: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!