Suami culas, bekas isteri tuntut tunggakan nafkah

MAHKAMAH boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isteri. -Gambar hiasan
MAHKAMAH boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isteri. -Gambar hiasan
A
A
A

SEKITAR tahun 2007, Zaleha, 30 (bukan nama sebenar) berkahwin dengan pilihan hatinya, Hazwan, 25 (bukan nama sebenar). Mereka memilih negara jiran sebagai tempat untuk pernikahan.

Sekembalinya di Malaysia, Zaleha dan Hazwan mendaftarkan perkahwinan mereka di sebuah pejabat agama Islam di Lembah Klang.

Sepertimana pasangan lain, tempoh awal perkahwinan merupakan saat-saat yang paling indah buat mereka. Apatah lagi, lapan bulan kemudian, Zaleha disahkan hamil. Gembira bukan kepalang hati mereka saat dikhabarkan perkara itu oleh doktor.

Kehidupan mereka bertambah seri apabila putera pertama mereka selamat dilahirkan pada tahun 2008. Tiga tahun kemudian, lahirlah putera kedua melengkapkan keluarga kecil mereka.

Namun, entah di mana silapnya, Zaleha diceraikan suaminya secara tiba-tiba pada pertengahan tahun 2012. Menambah lagi kebingungannya apabila perceraian itu dibuat suaminya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas.

Benar kata orang, hidup tidak selalunya indah. Itulah hakikat hidup yang terpaksa ditelan Zaleha. Meskipun pahit, mahu atau tidak, beliau terpaksa mengharungi hidup bersendirian dan membesarkan kedua-dua jantung hatinya.

Walaupun masih tertanya-tanya kenapa dirinya diceraikan, namun Zaleha akur. Beliau membawa kes itu ke Mahkamah Rendah Syariah di selatan Semenanjung. Akhirnya, mahkamah mengesahkan perceraian itu pada bulan Ogos 2012.

Sepanjang lima tahun melayari hidup bersama, Zaleha terfikir tentang nafkah dirinya yang tidak dibayar, selain sewa rumah, makanan, pakaian dan kos utiliti lain. Bekas suaminya culas menyediakannya untuk dua tahun terakhir tempoh perkahwinan mereka sebelum bercerai.

Artikel Berkaitan:

Hatinya berbelah bahagi untuk menuntut nafkah berkenaan. Di benaknya terfikir, beliau bukanlah terlalu tamak atau berkira tentang soal wang. Wanita itu juga bekerja dan mempunyai pendapatan yang baik. Namun, memikirkan hak yang sepatutnya diterima, beliau akhirnya memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Syariah.

Dalam tuntutannya, Zaleha menuntut sejumlah RM50,000 nafkah tertunggak daripada bekas suaminya selama tempoh dua tahun itu iaitu September 2010 hingga bulan Ogos 2012.

Setelah meneliti dan menilai tuntutan tunggakan nafkah itu berdasarkan kepada hukum syarak dan undang-undang serta keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, hakim memutuskan, Hazwan perlu membayar tunggakan nafkah September 2010 hingga Ogos 2012 sebanyak RM31,280 kepada bekas isterinya.

Zaleha menarik nafas lega dengan keputusan mahkamah itu. Beliau berharap agar kes itu boleh dijadikan pengajaran untuk semua wanita yang mengalami nasib sepertinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!