Kerapu gergasi tarikan HPPN Kelantan
PASIR PUTEH - Ikan kerapu gergasi dari spesies kertang bernilai RM30,000 antara tarikan utama ke Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPN) yang akan diadakan dari 31 Julai hingga 4 Ogos nanti di Pantai Bisikan Bayu di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ikan itu dibawakan sebagai galakan kepada orang ramai menceburi bidang berkaitan.
Menurutnya, selain ikan kerapu, pameran 100 lembu sado juga mampu menarik pengunjung.
"Kita menjangkakan HPPN kali ini menarik lebih 20,000 pengunjung kerana kita menyediakan pelbagai aktiviti menarik.
"Seekor lembu dan lima kambing antara hadiah yang disediakan untuk pengunjung bertuah," katanya.
Menurutnya lagi, HPPN juga menghimpunkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mempromosikan produk masing-masing.
"Kita akan mengadakan jualan promosi barangan kawalan, pertandingan ikan betta dan gupi, penalti pantai, pertandingan memancing, pesta makan buah bermusim dan kayuhan basikal," katanya.
Tambahnya, majlis perasmian karnival bertemakan Kelantan Jelapang Makanan Negara itu akan disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob pada 1 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!