Perak tak perlu cuti Isnin: MB

Ahmad Faizal (duduk, dua dari kanan) pada sidang media berkenaan.
Ahmad Faizal (duduk, dua dari kanan) pada sidang media berkenaan.
A
A
A
IPOH - Tidak ada sebarang cuti yang akan diumumkan oleh kerajaan Perak pada hari Isnin depan sekiranya Perak berjaya muncul juara Shopee Piala FA 2019, malam esok.

Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepa Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, orang ramai khususnya penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan aksi final berdepan Kedah malam esok, berpeluang berehat pada cuti hujung minggu (Ahad).

Menurutnya, pada Selasa pula seluruh negara bercuti sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Riayatuddin al-Mustafa billah Shah.

“Perak tak perlu bercuti Isnin. Hari Ahad dah rehat dan memandangkan kita juga akan sambut cuti umum pertabalan Agong.

"Saya kira negeri Perak perlu lebih masa bekerja untuk kembalikan kegemilangan negeri kita ini.

“Tak perlu kita bercuti pada Isnin kerana pada Ahad kita sempat berehat daripada menyambut kejayaan pasukan di final dan hari Selasa kita boleh rehat balik. Kalau tidak banyak sangat cuti, rugi kita,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media sempena lawatan skuad Perak ke Hospital Pakar Ipoh (KPJ) bagi menziarahi beliau yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, aksi final berkenaan akan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Ahmad Faizal berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat memberikan sokongan padu kepada pemain yang beraksi bermati-matian kerana ia dilihat mampu meningkatkan lagi mutu sukan bola sepak di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada gunanya jika pasukan kita menang, tetapi mutu bola sepak negara kita masih rendah.

“Diharapkan juga semua penyokong dapat menjaga emosi dan berusaha untuk pastikan kita dapat menyaksikan aksi bola sepak yang bermutu tinggi

"Jadi, tak payahlah bergaduh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!