Sudahlah mencuri, masuk masjid pakai kasut pula!
PASIR MAS - Bukan sahaja mencuri sembilan kipas dinding milik Masjid Mukim Kelar di sini, malah dua lelaki bertindak biadab memasuki masjid berkenaan tanpa menanggalkan kasut dalam kejadian jam 4.21 pagi, Sabtu lalu.
Gelagat dua pencuri yang menutup muka dan salah seorang daripada mereka memakai kopiah berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebut.
Video itu kemudiannya tular di laman sosial Facebook sejak semalam dan menimbulkan kemarahan warganet.
Ahli Jawatankuasa Masjid Mukim Kelar, Zakaria Sulaiman berkata, ini bukan kali pertama masjid berkenaan berdepan dengan masalah kecurian.
“Jika sebelum ini wang dari tabung masjid telah dicuri, kali ini harta benda masjid pula menjadi mangsa,” katanya.
Menurutnya, dia berharap dua penjenayah itu diberikan hidayah supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, polis sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek yang terlibat.
“Kita akan terus mempertingkatkan lagi rondaan bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berulang pada masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!