Bicara saman fitnah Teresa, Ketua Pemuda Pas Selangor 23 September

Teresa dan Syarhan
Teresa dan Syarhan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tiga hari bermula 23 September hadapan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim terhadap Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim berhubung penerbitan artikel di dalam akaun Facebook miliknya, pada Januari lepas.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Syarhan Humaizi memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril yang turut dihadiri peguam Elyse Ng Zi Qian bertindak bagi pihak Teresa.

Dalam saman difailkan pada 4 Februari lepas, Teresa mendakwa Syarhan Humaizi selaku defendan telah menulis, memuat naik atau menerbitkan artikel bertajuk 'Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar' dalam akaun Facebooknya pada 19 Januari 2018 yang mana artikel itu turut diterbitkan dalam media cetak dan sosial di dalam dan luar negara.

Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa, defendan telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk: 'Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan' di dalam sebuah portal berita, Malaysia Today pada 12 Januari lepas.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan fitnah di dalam kedua-dua arktikel itu antara lain membawa maksud beliau adalah anti Islam, bersifat perkauman, menyalahguna kuasa sebagai Menteri Kabinet serta seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Dakwanya, penerbitan kata-kata fitnah itu adalah tidak benar dan dilakukan dengan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi pampasan, teruk dan teladan serta injunksi bagi menghalang defendan atau pekerjanya daripada menerbitkan semula artikel sama selain menuntut faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarhan Humaizi dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac lepas mendakwa, artikel pertama yang diterbitkannya adalah berasaskan fakta-fakta yang benar dan bersifat tindak balas politik yang munasabah terhadap DAP selain mendakwa ia tidak bersifat memfitnah plaintif (Teresa).

Artikel Berkaitan:

Syarhan Humaizi juga mendakwa beliau tidak pernah menerbitkan artikel kedua itu selain mendakwa artikel berkenaan tiada kaitan dengan Teresa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!