PAC Parlimen Malaysia terpilih menjadi tuan rumah CAPAC

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Seminar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Komanwel (CAPAC) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 1 hingga 3 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, seminar tersebut adalah anjuran Persatuan Komanwel United Kingdom (CPAUK) dan ia adalah kali pertama PAC Parlimen Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi CAPAC yang membabitkan negara-negara Komanwel dari rantau Asia dan Asia Tenggara.

“PAC Parlimen Malaysia amat berbesar hati dan gembira untuk menjadi tuan rumah persidangan ini yang membabitkan lebih 20 ahli PAC, Setiausaha PAC dan Pengerusi PAC dari lapan negara Komanwel termasuk Singapura, Hong Kong, Pakistan, Sri Lanka, India, Maldives, India serta Bangladesh dan saya mengalu-alukan kehadiran semua mereka ke Malaysia.

“Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof akan merasmikan seminar yang diadakan di Parlimen Malaysia dan dijangka turut dihadiri Pengerusi PAC Parlimen United Kingdom, Meg Hiller,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, CAPAC pertama kali dianjurkan di Fiji bagi negara Komanwel rantau Pasifik pada Februari lalu, dan pada Januari 2020, ia akan dianjurkan di salah sebuah negara di rantau Carribean.

“Sepanjang seminar ini, semua peserta akan didedahkan amalan terbaik untuk PAC Parlimen Malaysia menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan terutama sekali dalam mengesan berlaku unsur penyelewengan dalam kewangan kerajaan.

“Ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli PAC Parlimen Malaysia bertukar pandangan dan pendapat dengan rakan-rakan mereka dalam memantapkan lagi struktur urus tadbir jawatankuasa ini, terutama sekali memastikan PAC memainkan fungsi semak dan imbang terhadap Kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noraini berkata, rakyat kini menuntut PAC Parlimen Malaysia memainkan peranan lebih aktif dan berkesan terutama sekali dalam menjalankan siasatannya melalui prosiding dengan telus serta berakauntabiliti.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya mengharapkan ahli-ahli PAC Parlimen Malaysia dapat menambah ilmu mereka mengenai kaedah terbaik yang diamalkan di negara-negara Komanwel sama ada ia dapat disesuaikan ketika Jawatankuasa ini mengadakan prosiding,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!