Imigresen tahan deejay Indonesia, DJ Rere
KUALA LUMPUR - Seorang deejay terkenal warga Indonesia, 'DJ Rere' ditahan Jabatan Imigresen Malaysia bersama 58 warga asing dalam serbuan di sebuah kelab malam di ibu negara, malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan susulan maklumat daripada pihak Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) berhubung penganjur yang tidak mengemukakan sebarang permohonan terhadap 'DJ Rere' bagi membuat persembahan.
Katanya, premis tersebut juga tidak memiliki lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan.
"Arahan telah dikeluarkan kepada pihak penganjur pada jam 10 malam untuk tidak melakukan persembahan kerana deejay tersebut hanya memiliki pas sebagai pelancong bukannya pas ikthisas iaitu sebagai penghibur di negara ini.
"Bagaimanapun, pihak penganjur tetap berdegil dan telah meneruskan persembahan deejay terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, serbuan telah dilaksanakan dengan menahan deejay tersebut.
Menurutnya, suasana meriah kemudian bertukar kecoh, malah terdapat cubaan pengunjung asing untuk melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik sofa, namun taktik itu gagal.
"Seramai 135 warga tempatan dan 108 warga asing diperiksa. Kesemua yang ditahan adalah seramai 59 warga Indonesia terdiri daripada 36 lelaki dan 20 perempuan serta tiga lelaki Bangladesh atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan susulan.
"Deejay terbabit telah ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya dan selainnya ditahan di Depoh Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
"Kita juga akan menahan pihak penganjur dan pemilik premis untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!