Cabaran amil mengagihkan harta zakat

Seorang pegawai penyiasat bertanggungjawab ke atas dua Dewan Undangan Negeri bagi melakukan proses penyiasatan meliputi pelbagai aspek termasuk pendapatan isi rumah, tanggungan, keadaan tempat tinggal dan persekitaran, kesihatan dan sebagainya.
Seorang pegawai penyiasat bertanggungjawab ke atas dua Dewan Undangan Negeri bagi melakukan proses penyiasatan meliputi pelbagai aspek termasuk pendapatan isi rumah, tanggungan, keadaan tempat tinggal dan persekitaran, kesihatan dan sebagainya.
A
A
A

[DIKEMASKINI] KEBELAKANGAN ini, banyak pihak sering mempertikaikan tentang pengagihan wang zakat.

Mari kita ikuti bagaimana pihak pengurusan agihan Zakat Melaka mengenal-pasti pemohon yang betul-betul layak menerima harta zakat, serta cabaran yang mereka hadapi semasa menjalankan tugas mengagih ini.

Tugas pengagihan zakat adalah suatu ketetapan yang datangnya daripada ALLAH SWT. Ia bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka sendiri oleh mana-mana pihak.

Dalam kita memahami Fiqh Zakat, orang yang diamanahkan untuk mengurus zakat itu wajiblah memahami siapakah yang betul-betul layak untuk disantuni, kerana mereka inilah yang dianggap mustahiq atau orang-orang yang berhak menerima harta zakat.

Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka; Mohd Rizalman Bin Syed berkata, sekiranya penyaluran zakat disalahgunakan, maka jelas pihak yang dipertanggungjawabkan di sisi ALLAH SWT kelak ialah mereka yang diamanahkan menguruskan zakat.

“Amil atau pengagih zakat perlu menjaga amanah harta zakat ini agar ia tidak menjadi beban kepada para amil untuk menjawabnya di hari akhirat kelak.

“Pengurusan zakat juga wajib dan perlu memastikan hanya mereka yang layak sahaja disantuni,” katanya.

Katanya, pengurusan agihan zakat juga sering menjadi sasaran kritikan, tuduhan serta celaan dari masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Segolongan besar pihak-pihak di luar sana menganggap dan memperlekehkan tugas pegawai-pegawai agihan ini.

“Mereka menganggap prosedur bantuan zakat terlalu rumit, lambat, proses siasatan yang mengambil masa, banyak tapisan, serta banyak lagi tuduhan, makian, dan persepsi negatif dilemparkan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, mereka yang memberikan kritikan ini tidak begitu memahami tugas mengagih zakat sebenarnya adalah lebih sukar jika dibandingkan dengan tugas mengutip zakat.

“Di zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW, Rasulullah tidak pernah memerintahkan kepada para amil supaya menyiasat tentang orang yang mahu berzakat serta dari mana datangnya sumber harta tersebut.

“Sebaliknya Rasulullah memerintahkan agar setiap orang yang datang memohon bantuan zakat, diperiksa dahulu latar belakang mereka,” katanya.

Pegawai Zakat Melaka ketika melakukan lawatan kerja baru-baru ini.
Pegawai Zakat Melaka ketika melakukan lawatan kerja baru-baru ini.

Bagaimana pula caranya Nabi Muhammad SAW mengagihkan zakat?

Sudah pastilah baginda Rasulullah SAW menggunakan kebijaksanaan baginda, sama ada kita percaya atau tidak, pada zaman Nabi Muhammad SAW juga sudah ada pihak yang berani mempertikaikan agihan yang dilakukan Baginda.

”Puncanya, kerana mereka merasa marah, cemburu, iri hati serta dengki kerana tidak mendapat harta agihan zakat ini,” katanya.

Mohd Rizalman berkata, pengurusan pengagihan harta zakat mempunyai tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pentadbir negeri.

“Namun, isu pengagihan zakat ini masih lagi menimbulkan banyak perdebatan dan permasalahan,” jelasnya.

Menurut beliau, masyarakat di luar sana tidak begitu mengetahui dan faham tugas serta tanggungjawab pihak pengurusan agihan yang sangat mencabar, di dalam memenuhi keperluan setiap asnaf yang dianggarkan seramai lebih kurang 8,000 orang di Melaka.

Jelas Mohd Rizalman, agihan zakat dibuat menerusi pelbagai skim bantuan zakat yang membantu masyarakat daripada segala aspek merangkumi keperluan asasi seperti makanan, persekolahan, perubatan, bantuan kediaman, bantuan am kecemasan, dan sebagainya.

Setiap permohonan yang diterima, akan dimasukkan ke dalam sistem dan seterusnya menunggu proses penyiasatan.

“Setiap pegawai penyiasat bertanggungjawab ke atas dua Dewan Undangan Negeri dan proses penyiasatan meliputi pelbagai aspek termasuk pendapatan isi rumah, tanggungan, keadaan tempat tinggal dan persekitaran, kesihatan dan sebagainya.

“Segala maklumat yang diperoleh akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Agihan Bantuan yang diadakan pada setiap minggu untuk kelulusan dan pengesahan.

“Kemudiannya, proses penyerahan bantuan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja mendapat kelulusan serta pengesahan dari mesyuarat tersebut,” katanya lagi.

Mohd Rizalman berkata, segolongan besar masyarakat juga masih belum begitu faham tentang pengertian dan penentuan asnaf.

Katanya, pengkategorian ini sebenarnya adalah sebagai asas yang paling utama kepada pihak agihan mendefinisikan dan mengagihkan bantuan zakat kepada setiap asnaf yang telah ditentukan.

Dalil penentuan asnaf zakat jelas dinyatakan dalam surah al-Taubah ayat 60, yang bermaksud, “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan ALLAH, dan ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Namun begitu, adalah menjadi suatu isu kemarahan serta tidak puas hati di kalangan segelintir masyarakat yang tidak layak untuk menerima bantuan agihan zakat ini.

”Sudah menjadi lumrah masyarakat kita bersikap suka meminta minta, sehingga ada yang sanggup menipu data peribadi mereka semata-mata untuk meraih simpati demi mendapatkan bantuan zakat.

”Ada juga pemohon yang mengamuk, mencemuh, mencerca, marah-marah serta melemparkan kata-kata kesat kepada pegawai yang bertugas kerana tidak puas hati permohonan mereka ditolak atau dihentikan atas sebab-sebab yang tertentu.

“Inilah dilema yang kami hadapi dengan segelintir pemohon yang mengaku miskin, daif dan tidak berkemampuan tetapi pada hakikatnya mereka ini ‘menipu’ untuk kepentingan diri sendiri”, kata Mohd Rizalman.

Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 58, “Dan di antara mereka ada yang mencela mu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah”

Jelas Mohd Rizalman, tugas seorang amil agihan zakat ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh oleh masyarakat.

”Pegawai agihan zakat adalah satu tugasan mulia yang terisi dengan tanggungjawab, amanah, integriti dan ketelusan.

”Salah satu pekerjaan yang disebut oleh ALLAH dalam al-Quran adalah amil, kerana amil adalah merupakan perpanjangan tangan ALLAH SWT.

”Para Amil akan tersenyum bahagia jika mampu menyalurkan harta zakat kepada orang yang berhak menerimanya,” katanya.

No Image Caption

Tugas seorang amil dalam membahagi-bahagikan harta zakat kepada para mustahik adalah berat sebenarnya.

Menyelusuri rumah-rumah serta pedalaman untuk melakukan penelitian yang mendalam tentang data-data asnaf fakir dan miskin, agar harta zakat itu tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak berhak menerimanya.

SHARIFAH HUDA SYED YAHYA

Kempen & Publisiti Zakat Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!