Pas tak 'selera' dengan DAP, Amanah
MARANG - "Baru ada selera," demikian kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai piagam kerjasama di antara UMNO dan Pas yang akan ditandatangani pada 14 September ini.
Menurutnya, politik ini macam hidangankan. Banyak lauk dalam tu.
"Kita pilihlah lauk yang ada selera, lauk yang tiada selera tak perlu pilihlah.
"Kita tidak ada selera dengan DAP dan PAN (Amanah), jadi tidak ada seleralah," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Sebelum ini, Abdul Hadi ditemui di Parlimen baru-baru ini menolak pelawaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar parti itu menyertai mereka dengan alasan tiada selera, namun sebaliknya dengan UMNO.
Mengenai piagam kerjasama Pas dan UMNO yang akan ditandatangani September ini, Abdul Hadi berkata, ia bakal mendominasikan Melayu Islam dalam arena politik tanah air.
"Apa yang penting ialah kita hendak mendominasikan Melayu Islam dalam politik negara tanpa mengetepikan kaum bukan Islam yang menjadi anggota masyarakat majmuk. Itu tidak boleh dinafikan.
"Kerjasama kita untuk tumpu kepada yang pertamanya ialah dominasikan Melayu Islam. Kita kena sedar 70 peratus adalah Bumiputera. Islam dan bukan Islam adalah dominasi penduduk, kaum," katanya.
Sehubungan itu Abdul Hadi berkata, parti politik ini perlu dipadukan dengan memberikan tumpuan kepada UMNO dan Pas terlebih dahulu.
"Ini parti terbesar bagi orang Melayu Islam yang ada pada hari ini. Parti yang ada akar umbi, yang lain tiada. Yang pentingnya ialah berlakunya kerjasama, bukannya tarikh hari bulan (piagam) itu.
"Yang penting itu dulu, konsep kuasa politik melalui Islam. Kita hendak betulkan apa yang berlaku pada hari ini," katanya.
Sementara itu, beliau turut kesal dengan perkembangan politik semasa yang berlaku apabila pelbagai isu sedang melanda negara khususnya melibatkan kepentingan masyarakat Islam.
Katanya, DAP dilihat menguasai kerajaan menyebabkan pelbagai isu dalam negara timbul, manakala parti-parti politik lain di dalam PH pula dilihat terpaksa akur.
"Apabila pemerintah ini didominasikan DAP, begitulah jadinya dan dalam kerajaan parti Melayu Islam hanya parti Bersatu sahaja yang mempertahankan Islam. PKR tidak, Amanah pun tidak.
"PKR ini parti pelbagai kaum, Amanah pula lebih kepada DAP dan sebab itu saya cadang supaya Amanah guna simbol DAP pada pilihan raya akan datang, tak payah guna simbol Amanah.
"Dia (Amanah) pun dapat undi DAP, pakai simbol DAP (untuk) sambung talian hayatnya. Itu lebih baik," katanya.
Ketika ditanya mengenai kewajaran untuk bekerjasama bersama Bersatu pada masa akan datang demi kepentingan Islam, katanya, perkara itu terlalu awal untuk diputuskan.
"Kita (juga) tidak mahu menjatuhkan kerajaan begitu sahaja. Biarlah (menerusi) proses pilihan raya (tapi) kalau hendak dukung demokrasi sungguh, bubarlah Parlimen cepat-cepat," katanya berseloroh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!