Baik pulih landasan kereta api Sungai Golok-Pasir Mas

Mongkol (tengah) bersama warga media dalam satu pertemuan di kediamannya di Kota Bharu.
Mongkol (tengah) bersama warga media dalam satu pertemuan di kediamannya di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Perkhidmatan kereta api antara Pasir Mas ke Sungai Golok, Thailand perlu dibaik pulih semula untuk menggalakkan perkembangan sektor ekonomi dan pelancongan antara dua negara.

Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, kemudahan pengangkutan kereta api mampu melonjakkan kemasukan pelancong dua buah negara, sekali gus menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan jumlah 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan kira-kira RM100 bilion.

Beliau berkata, tahun lalu terdapat kemasukan 520,000 rakyat Thailand ke Kelantan daripada 1.9 juta orang ke seluruh Malaysia dan ia boleh melonjak lebih tinggi jika jaringan pengangkutan itu ditambah baik.

"Kelantan mempunyai potensi tinggi dalam sektor pelancongan dan saya percaya, jika fokus diberikan terhadap baik pulih jaringan pengangkutan ini dilakukan, ia bakal menarik pelancong dari selatan Thailand kerana jaraknya yang lebih dekat dengan Kelantan.

"Perkhidmatan kereta api bukan sahaja memudahkan penduduk wilayah itu masuk ke Kelantan malah sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur," katanya ketika sidang akhbar di kediamannya dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya diminta oleh Kementerian Luar Negeri Thailand untuk menyiapkan kajian terperinci mengenai manfaat menghidupkan semula landasan kereta api antara kedua-dua buah negara itu.

"Saya pasti, penduduk Thailand suka datang ke negeri ini kerana di Kelantan terdapat lebih 20 kuil Buddha untuk mereka lawati.

"Kita berharap pemimpin dua buah negara ini dapat merealisasikan hasrat bersama rakyat kita ini yang sememangnya mempunyai ikatan yang kuat sejak zaman dahulu lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mongkol berkata, sebahagian landasan kereta api antara Sungai Golok ke Pasir Mas sepanjang 18.7 kilometer rosak akibat kejadian banjir besar pada 2014.

Untuk rekod, pada 2015 dikatakan Keretapi Tanah Melayu Bhd telah merancang untuk membuka semula laluan kereta api dari Pasir Mas ke Golok, Thailand.

Cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan serta Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!