SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyeru Peguam Negara, Tommy Thomas tidak melengahkan pendakwaan ke atas kes rogol yang melibatkan Exco Perak bagi memastikan imej perundangan negara terjaga. Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia juga penting bagi menjernihkan persepsi rakyat terhadap sikap pilih kasih Tommy sebagaimana kes-kes sebelum ini yang terkait dengan pimpinan kerajaan dan DAP. “Pemuda UMNO mengikuti rapat perkembangan kes rogol membabitkan pembantu rumah warga Indonesia oleh Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong. “Sejak awal lagi persepsi berkeliaran mengenai amalan pilih kasih dalam kes ini apabila Paul Yong tidak direman namun kini siasatannya sudah sempurna dan diserahkan oleh pihak polis kepada Peguam Negara, Tommy Thomas sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada 23 Julai 2019 lalu. “Kes ini sangat perlu disegerakan kerana ia mendapat perhatian masyarakat antarabangsa khususnya negara jiran kita, Indonesia selaku negara asal pembantu rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya turut merasa hairan apabila kes melibatkan Exco tersebut yang berlaku lebih awal, lambat untuk dihadapkan ke mahkamah sedangkan kes cabul melibatkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Melaka, Ma’on @ Yunus Abu Samah, berlaku pada 15 Julai, telah direman. “Jika Ma’on, yang kesnya lebih ringan dan lebih lewat, tetapi ditahan reman empat hari berbanding Paul Yong yang tidak direman, telah didakwa dua hari lalu, mengapa pula Paul Yong, yang kesnya lebih berat dan lebih awal, masih belum didakwa? “Apakah kerana Paul Yong seorang pemimpin DAP manakala Ma’on seorang rakyat biasa, jadi Paul Yong wajar diberikan layanan lebih istimewa? “Apakah kerana Paul Yong seorang Exco Perak manakala Ma’on hanya seorang Pengerusi MPKK di Melaka maka Ma’on lebih cepat didakwa? Katanya. Justeru kata Asyraf Wajdi, persepsi sedemikian akan terus berleluasa tambahan selepas Peguam Negara sebelum ini bertindak menggugurkan pendakwaan kes rasuah pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan beberapa kes berprofil tinggi membabitkan pimpinan Pakatan Harapan (PH).