Trafik penumpang lapangan terbang Sabiha Gokcen Istanbul meningkat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perbincangan meja bulat bersama peneraju industri melibatkan kira-kira 35 syarikat utama Turki di Hotel Shangri-La Bosphorus hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perbincangan meja bulat bersama peneraju industri melibatkan kira-kira 35 syarikat utama Turki di Hotel Shangri-La Bosphorus hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), yang dimiliki sepenuhnya dan diurus oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), mencatatkan pergerakan trafik penumpang sebanyak 16.7 juta sehingga Jun lepas (separuh pertama 2019), meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pada 2018, ISGIA mencatatkan pergerakan trafik penumpang 34.1 juta dan pendapatan sebanyak RM1.15 bilion.

"Dengan pembesaran balai berlepas yang telah siap baru-baru ini, kapasiti lapangan terbang itu meningkat kepada 41 juta penumpang setahun (mppa) daripada 33 mppa sebelum ini.

"Kerajaan Turki juga sedang membina landasan kedua di lapangan terbang tersebut, yang dijangka siap menjelang 2020, dan dijangka meningkatkan kapasiti ‘airside’ ISGIA," menurut MAHB dalam kenyataan sempena lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke lapangan terbang itu, hari ini.

ISGIA merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Turki serta lapangan terbang satu landasan dan terminal paling sibuk di dunia.

Ia juga hab kepada syarikat penerbangan terbesar Turki, Pegasus Airlines dan Turkish Airlines, serta 56 syarikat penerbangan lain yang beroperasi dari lapangan terbang itu, memenuhi 38 destinasi domestik dan 108 destinasi antarabangsa.

MAHB berkata, masa depan ISGIA kekal cerah, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kedua-duanya mempunyai potensi untuk menawarkan peluang perubahan sebagai hab kepada kesalinghubungan Islam untuk Eropah dan Asia Pasifik.

Pada masa ini, Malaysia merupakan negara Islam global nombor satu untuk tahun kelima dan KLIA menjadi hab pilihan ke Arab Saudi bagi 220 juta penduduk Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Turki adalah antara tiga destinasi utama dunia untuk perjalanan halal dan ISGIA mampu menyediakan akses langsung kepada 80 juta penduduk Turki dan seluruh Eropah ke Arab Saudi.

Penglibatan MAHB dalam ISGIA bermula pada 2008 apabila bersama-sama dengan rakan konsortiumnya, ia diberikan konsesi untuk mengendalikan lapangan terbang itu selama 20 tahun dengan tambahan empat tahun.

Pada 2014, pengendali lapangan terbang itu mengambil alih 100 peratus pegangan dalam ISGIA, menjadikannya antara kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang.

Pada 2018, ISGIA merupakan lapangan terbang kedua yang berkembang dengan pesat di Eropah dalam kategori melebihi 30 mppa. Ia kini adalah lapangan terbang ke-12 paling sibuk di Eropah, mengatasi Zurich, Manchester, Stansted, Dublin dan Berlin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!