Polis kesan dua lelaki samun rokok

Dua lelaki bertindak mengugut pekerja wanita dengan parang sebelum melarikan rokok pelbagai jenama di Sungai Siput semalam.
Dua lelaki bertindak mengugut pekerja wanita dengan parang sebelum melarikan rokok pelbagai jenama di Sungai Siput semalam.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis sedang mengesan dua lelaki bertopeng yang terlibat dalam kes samun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Komersial 1, Komersial Waterfront di sini semalam.

Video berdurasi 1 minit 15 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan dua lelaki bersenjatakan parang meluru masuk dan mengugut seorang pekerja wanita di kaunter wang kedai terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kedua-dua suspek yang dianggarkan berusia 20-an itu telah melarikan rokok pelbagai jenama.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai dan hanya ada seorang pekerja wanita yang berada di kaunter. Seorang rakannya berada dalam tandas.

"Kedua-dua suspek hanya mengambil rokok bernilai RM2,000 sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua suspek yang dipercayai warga tempatan.

“Pekerja wanita terbabit tidak mengalami kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!