Undi 18: Kebajikan anak muda lebih terbela
KUALA LUMPUR - Kebajikan generasi muda tentunya akan lebih terbela dengan lulusnya Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang membolehkan belia berumur 18 tahun mengundi.
Demikian menurut seorang anak muda Muhammad Azril Aznan, 18, yang turut melahirkan rasa gembira dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan di Dewan Negara pada Rabu lepas.
Pekerja sambilan di sebuah kedai buku itu berkata dengan mandat yang diberi sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, pasti lebih banyak pembaharuan dan usaha kerajaan akan tertumpu kepada anak muda.
"Selepas ini, bagi mereka yang berusia 18 sudah layak mengundi dan tentukan masa depan negara dan generasi seterusnya. Pada saya ia perkembangan yang sangat positif kerana kerajaan sudah pasti akan melihat mengenai kehendak dan keperluan kami yang berusia 18 tahun dalam membuat dasar.
"Jika sebelum ini, stigma masyarakat atau juga segelintir pemimpin yang seolah-olah mengetepikan suara kami kerana beranggapan umur 18 adalah 'budak mentah'. Tetapi selepas ini mungkin tidak lagi kerana kami juga menjadi antara 'prospek' para pemimpin," katanya.
Pindaan Perlembagaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Nuraifana Ariffin, 19, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang masih lagi menunggu tawaran pekerjaan, berkata peluang dalam pelbagai aspek khususnya di sektor pekerjaan akan lebih terbuka luas kepada anak muda.
"Saya belum punyai rezeki untuk menyambung pelajaran dan masih belum mendapat kerja. Buat masa ini saya berniaga dari rumah dengan menjual pelbagai tempahan makanan.
"Saya percaya ramai lagi yang berdepan perkara sama dengan saya di mana masih samar lagi masa depan kami. Jadi selepas ini mungkin kerajaan boleh lihat lebih jauh ke bawah berkenaan hal-hal berkaitan anak muda yang akan memulakan kehidupan khususnya di usia antara 18 dan 20 tahun," katanya.
Bagi pasangan kembar Johan Ahmad Khair dan Jefrizan Ahmad Khair yang berusia 25 tahun berkata sudah pasti landskap politik negara menjadi lebih luas dan matang dengan penyertaan generasi yang lebih muda.
"Saya baru pertama kali merasai pengalaman sebagai pemilih ketika PRU-14 lepas. Ketika saya di usia 18 tahun, saya juga tertanya-tanya kenapakah kami tidak boleh mengundi, adakah peluang untuk suara kami didengar?
"Dengan peluang yang ada sekarang, kami fikir suara anak muda akan lebih terbela. Parti politik yang bertanding sudah tentu akan turut memberikan keutamaan kepada kebajikan belia dalam setiap manifesto termasuk menempatkan calon-calon daripada kalangan belia untuk menarik undi belia kepada mereka," kata Johan.
Menurut Jefrizan secara tidak langsung umur mengundi pada pilihan raya yang diturunkan daripada 21 tahun kepaa 18 tahun akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa depan negara.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata menurunkan umur mengundi ialah langkah awal memastikan penyertaan anak muda dalam menyuburkan amalan demokrasi semakin kukuh.
"Ia mampu memastikan setiap lapisan umur mempunyai peluang yang sama untuk memilih wakil rakyat berdasarkan penilaian mereka sekali gus membuktikan kerajaan mahu memastikan dasar
mereka bersifat inklusif.
" Ini juga bermakna kerajaan tidak boleh meminggirkan keperluan dan cita rasa anak muda agar terus disokong dan didukung oleh undi anak muda," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!