Imigresen sasar 400 pendatang tanpa izin sertai B4G

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mensasarkan kira-kira 300 hingga 400 pendatang tanpa izin sebagai langkah permulaan program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good - B4G) bagi membendung kesesakan di depot tahanan Imigresen seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata ketika ini pihaknya mempunyai 14 depot di seluruh negara, yang mampu menampung kira-kira 10,500 pendatang tanpa izin.

Beliau berkata bagaimanapun, bilangan pendatang tanpa izin yang ditempatkan di depot-depot itu kadang kala mencecah sehingga 11,000 pendatang tanpa izin dan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

"Antara bahaya yang dihadapi ialah tersebar penyakit berjangkit seperti tibi yang dibawa oleh mereka dari negara mereka," katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata tawaran B4G hanya dibuka kepada pendatang tanpa izin yang berada di luar dan tidak ditawarkan kepada mereka yang berada di dalam depot tahanan.

"Ini kerana pendatang tanpa izin yang berada di dalam depot tahanan telah menjalani hukuman dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Pada 18 Julai, program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Dis diumum oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan mengurangkan pendatang tanpa izin di negara ini.

Pendatang tanpa izin berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!