Gara-gara onar 'Tuan Razak' pesara rugi RM123,500

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara didakwa terlibat dalam kegiatan perjudian haram, seorang pesara kerajaan terpaksa akur dengan arahan Tuan Razak kononnya dari Bank Negara apabila memindahkan semua wang simpanan dalam akaun banknya ke akaun sementara untuk siasatan bagi mengelak ditangkap.

Mangsa akhirnya berputih mata apabila pegawai bank negara yang menghubunginya pada 25 April lalu itu sebenarnya 'scammer' dan wang RM123,500 yang dipindahkan lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kronologi penipuan terhadap mangsa bermula pada 24 April lalu apabila dia menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan dia terlibat dalam kegiatan perjudian haram dan kes itu dalam siasatan Bank Negara.

"Hari berikutnya mangsa menerima panggilan daripada Tuan Razak kononnya pegawai Bank Negara yang mengendalikan kesnya sebelum dia diarahkan agar memindahkan semua wang dalam akaun banknya ke empat akaun sementara Bank Negara untuk proses siasatan.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang dengan hukuman berat, mangsa akur dengan arahan tersebut apabila memindahkan semua wang simpanannya dalam Tabung Haji, ASB dan akaun bank ke akaun atas nama empat individu berbeza," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga turut membuat 24 transaksi tunai melalui mesin ATM dua buah bank di Temerloh dalam tempoh 25 April sehingga 2 Mei lalu ke akaun atas nama seorang wanita.

Menurutnya, selepas semua transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM123,500 itu dibuat, mangsa menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada pegawai terbabit untuk menyemak status kesnya namun langsung tidak menerima sebarang maklum balas.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula curiga dan syak ditipu selepas suspek gagal dihubungi hingga laporan polis dibuat semalam. Polis buka siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan lima individu termasuk seorang wanita yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!