FAMA bawa petai "ganti" durian di Malaysia Fest Singapura

Sumber internet
Sumber internet
A
A
A

SINGAPURA - Dua dolar lima papan! Dua dolar lima papan!. Terdengar jeritan tersebut sebaik tiba di pintu masuk Dewan (Hall) 6, Bangunan Expo di mana Malaysia Fest 2019 sedang berlangsung.

Bagi edisi tahun ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa masuk 10 ribu papan petai di bawah program Jualan Terus Dari Ladang.

Bernama difahamkan berikutan sambutan menggalakkan dari penduduk Singapura 'penghantaran' pertama sebanyak empat ribu papan terpaksa ditambah.

Petai tersebut dibawa khas dari negeri Perak, yang sememangnya terkenal dengan komoditi itu.

Sementara itu terdapat pengunjung yang kedengaran bertanya tentang raja buah di gerai petai.

"Durian dah habis ke? Boleh bawa masuk lagi esok tak?"

Perasaan hampa jelas kelihatan apabila mereka mendapat tahu durian tidak mendapat "pelepasan" pihak penguasa Singapura, untuk menjadi salah satu komoditi untuk dijual di Malaysia Fest.

Pihak FAMA telah berusaha hampir setiap tahun untuk membawa buah kegemaran rakyat republik itu, setiap kali acara besar tahunan ini berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi tahun lalu FAMA telah "berjanji" untuk membawa masuk durian hybrid Musang King dan juga durian kampung Bukit Gantang, tetapi tidak mendapat pelepasan.

Difahamkan percubaan tahun ini juga gagal atas faktor sama iaitu "bau" nya yang agak "kuat".

FAMA menyasarkan 90,000 pelawat mengunjungi festival empat hari itu yang sedang berlangsung sejak 25 hingga 28 Julai ini.

Gerai petai merupakan antara 233 gerai berasaskan produk kesihatan industri AgroMas dan pertanian, serta produk baharu yang lain ditampilkan untuk memacu jualan.

Gerai di festival itu akan terbahagi kepada tujuh kluster - kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah-buahan, trak makanan, pelancongan dan perkhidmatan dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, kementerian dan agensi. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!