Dua rumah nyaris musnah terbakar
KUANTAN - Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan dua rumah teres di Taman Mariamah di sini daripada musnah terbakar semalam.
Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, kedua-dua rumah hanya mengalami kerosakkan apabila 30 peratus strukturnya terbakar dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, kebakaran melibatkan dua rumah teres dua tingkat itu dipercayai bermula pada bahagian belakang tingkat atas salah sebuah rumah terlibat.
"Sejurus menerima laporan, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama dua jentera dikerah ke lokasi untuk mengawal dan memadam kebakaran.
"Api merebak melalui bumbung ke rumah bersebelahan. Operasi pemadaman dibuat melalui bahagian dalam rumah dan bumbung sebelum kebakaran berjaya dipadamkan," katanya.
Menurutnya, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota forensik bomba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!