Wujud cubaan halang kerajaan pulihkan ekonomi negara: Dr Mahathir
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan pentadbiran dan ekonomi negara berjalan dengan perlahan kerana wujud cubaan melemahkan parti pemerintah.
Memetik wawancara bersama agensi berita Turki Anadolu, beliau berkata, PH mengambil alih pentadbiran yang mempunyai masalah kewangan besar disebabkan oleh pinjaman berlebihan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
"Wujud percubaan politik (melemahkan parti pemerintah). Walaupun mereka tidak berjaya melemahkan pentadbiran sekarang tetapi mereka tentu akan menghalang tindakan kerajaan bagi proses pemulihan.
"Kami ditinggalkan dengan pelbagai isu antaranya masalah kewangan. Kita perlu membayar balik pinjaman yang diambil oleh kerajaan BN dan sekarang kita tidak tahu di mana wang tersebut telah disimpan," katanya.
Menurutnya, walaupun wang tersebut dipercayai hilang dan disembunyikan di luar negara.
"Kami percaya mereka menyembunyikan wang di luar negara dan tekanan kewangan kepada kerajaan sekarang sangat besar. Situasi ini menghalang kami untuk kembali menguruskan ekonomi dengan baik," katanya.
Dr Mahahthir kini berada di Turki selama empat hari bagi lawatan rasmi bermula Khamis lalu.
Antara isu yang dibicangkan bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semasa lawatannya adalah berkaitan hubungan antarabangsa, pertahanan, perdagangan dan pelaburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!