Bukan mudah cari kebenaran

A
A
A

ALANGKAH seronoknya jika kita hidup di dunia ini berlandaskan kebenaran. Ini kerana kebenaran adalah tonggak kepercayaan.

Apabila nilai kepercayaan tidak diragui sudah tentu kita akan berasa tenang, bebas dan selamat untuk hidup. Namun, sampai bila pun kita tidak akan dapat mengecapi suasana tersebut selagi hati manusia masih lagi berkecamuk dengan sifat dusta serta berkepentingan diri.

Natijahnya, kita perlu berhati-hati menyingkap kebenaran supaya tidak tercemar dan dijangkiti kepalsuan.

Sebetulnya, bukan mudah untuk menyingkap kebenaran. Walaupun kehidupan hari ini penuh dengan penggunaan teknologi moden untuk mensahihkan kebenaran, namun dengan teknologi juga telah disalahgunakan untuk mendustakan kebenaran.

Apabila seseorang itu menceritakan sesuatu perkara kepada saya, langkah awal yang saya ambil ialah dengan mempercayai dahulu kata-kata beliau atas prinsip berbaik sangka kerana mengambil masa untuk mensahihkan berita tersebut. Pun begitu, selepas beberapa ketika, apabila diketahui serta dibuktikan bahawa kata-katanya sebelum ini dusta, maka barulah kepercayaan saya kepada beliau akan pudar.

Secara prinsipnya, isu kebenaran itu bukan sahaja melibatkan kita dengan orang lain, malah melibatkan diri kita sendiri. Kadangkala, kita berasa di pihak yang benar kerana berada di ruang lingkup kelompok yang sama fikrah pemikiran. Namun, jika hanya kita atau kelompok kita yang menentukan sesuatu kebenaran, adalah jelas sekali menyimpang dengan sifat kebenaran itu sendiri. Ini kerana, pertimbangan kita terhadap sesuatu perkara adalah berbeza dengan pertimbangan orang lain.

Tambahan pula dengan adanya sifat berkepentingan diri yang masih menebal serta sifat taksub yang cukup mendalam akan mendorong kita membuat pertimbangan salah serta semakin sukar menyingkap kebenaran tersebut.

Seorang ahli falsafah Thoreau pernah berkata: “Berbanding cinta, duit dan menjadi terkenal, berikan aku kebenaran.”

Artikel Berkaitan:

Pentingnya kebenaran kerana dikaitkan dengan keadilan, kuasa dan kebebasan. Menurut Aristotle: “Jika hanya menyatakan ini benar dan itu salah, belum lagi kebenaran kerana bergantung kepada apa yang diniatkan dalam diri kita tentang hal tersebut.” Itu bermakna, jika kita menyatakan sesuatu yang benar namun dengan niat yang salah ialah bukan kebenaran sebenarnya. Sebagai contoh, jika kita mengatakan: “Saya benar-benar sayang kepada awak.” Namun niatnya hanya untuk memuaskan nafsu, maka adalah jelas itu pendustaan semata-mata. Persoalannya, berapa ramai yang masih berdusta dengan kata-kata mereka yang bercanggah dengan niat?

Berkaitan dengan isu kebenaran, adalah jelas kebenaran hanya dapat disingkap oleh kita sendiri. Ini bermakna, kita perlu menguatkan jiwa agar menjadi orang yang benar.

Sesungguhnya tanpa dusta, diri kita akan menjadi lebih tenang selaras hadis Nabi daripada Abi Muhammad Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib: "Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW, 'Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan.” (Riwayat At-Tirmizi).

Bagi mencapai kebenaran, menurut beberapa ulama, kita perlu kuat dan bersungguh-sungguh untuk meminta maaf serta menyatakan kesalahan yang dilakukan dan bertaubat dengan meninggalkan apa yang dibenci dan mengerjakan apa yang dicintai ALLAH.

Selain itu, kita perlu kembali kepada ALLAH untuk memenuhi hak sebagaimana perjanjian dengan ALLAH sebagai hamba yang taat kepada-Nya, manakala kita perlu melakukan segala perubahan dengan ikhlas kerana tanpanya kita tidak akan berjaya mengubah lanskap kebenaran.

Kita juga perlu memohon perlindungan daripada ALLAH agar terselamat daripada segala bentuk kepalsuan.

Malah, Nabi Muhammad SAW pernah mengajar diri kita agar sentiasa berdoa: “Ya ALLAH aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat.” (Riwayat Abu Daud).

Pertimbangan kita terhadap sesuatu perkara adalah berbeza dengan pertimbangan orang lain."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!