Al-Sultan yang sentiasa di hati rakyat
SEHARI dua lagi 30 Julai, seluruh rakyat akan merayakan dan meraikan istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tidak sahaja untuk baginda berdua, istiadat itu juga memberi signifikan kepada rakyat jelata seluruhnya. Al-Sultan disenangi semua orang.
Sejak awal dilantik, kemesraan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda dirasai dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Baginda mencemar duli untuk mendekati diri dengan orang ramai.
Contoh, Seri Paduka Baginda memberhentikan kenderaan rasmi dan memberi bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Pada ketika yang lain Yang di-Pertuan Agong mencemar duli untuk bersama-sama menyantuni gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur.
Itu hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak contoh yang membuktikan kasih dan cakna Seri Paduka Baginda dan juga permaisuri terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Sikap prihatin dan kasih sayang itu amat memberi kesan di kalangan umum. Inilah payung yang akan melindungi Malaysia Baharu, insya-ALLAH.
Daulat Tuanku!
BERBALIK kepada politik, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengurusan pentadbiran negara tidak tergugat dengan masalah politik dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.
Beliau berkata, seperti yang dilaporkan media, berbeza pandangan adalah lumrah dalam politik namun tetap bersatu membabitkan pemulihan negara.
"Parti politik ini memang begitu, tidak semua akan sama pandangan tapi kita bersatu. Dalam soal (pentadbiran) negara pula, tidak ada apa-apa yang tergugat, apa yang kita mahu ialah ada kesatuan untuk memulihkan negara," katanya.
Pemimpin ada lain persepsi. Rakyat pun ada persepsi sendiri. Persepsi yang tidak sama ini membuatkan benda yang sepatutnya sedap menjadi tidak berapa sedap.
MAHU tidak mahu, hakikat harus diterima bahawa isu video lucah dikaitkan dengan pemimpin tertinggi PKR mengeruhkan politik dalam parti berkenaan.
Apabila parti berkenaan tidak stabil, tentu sekali ia menjejaskan juga politik dan pentadbiran kerajaan PH sekarang. Ini hakikat yang tidak boleh diketepikan atau hendak disembunyikan.
Ada orang kata penyebaran video lucah itu isu moral tetapi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia adalah isu politik. Moral atau politik kedua-duanya tidak baik untuk kerajaan berusia setahun lebih sedikit.
Maka semakin lama isu video semburit itu terus dimainkan dan dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan PKR tetapi juga akan menjejaskan kerajaan PH.
Sebelum keadaan lebih parah dan keyakinan umum menipis juga menjadi bahan lawak mengaibkan, ada baiknya dihentikan segera.
WALAUPUN cuba dinafikan tetapi tidak dapat disembunyikan lagi bahawa isu video itu memperlihatkan ada pertembungan antara pasukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kebimbangan umum, khasnya dalam kalangan anggota PKR sendiri, ialah pertembungan seperti ini amatlah tidak sihat untuk parti dan kerajaan.
Ada yang kata isu itu konspirasi untuk saling menjatuhkan pemimpin. Ada yang kata ia menguntungkan satu pihak, merugikan pula pihak lain.
Maka ia menjadi bahan ketawa dan mungkin memberi keuntungan kepada pemimpin bukan Melayu. Melayu tidak habis-habis dengan kisah yang memalukan!
AKHIR kalam, ketika kita sibuk untuk tidak menggalakkan orang menghisap rokok dan vape, di Sabah timbul pula kegilaan baharu dalam kalangan kanak-kanak, iaitu gula-gula vape.
Dikenali sebagai Ghost Smoke atau rokok hantu, gula-gula itu menarik perhatian kanak-kanak dan membimbangkan ibu bapa kerana ia menggalakkan merokok.
Pihak berkuasa Negeri Bawah Bayu itu menimbangkan akan mengharamkan penjualan kandi tersebut sekiranya Kementerian Kesihatan di peringkat pusat berbuat demikian.
Tidak perlu tunggu Pusat, kalau sudah tahu bahayanya haramkan sahaja ‘rokok hantu’ itu!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!