Jangan takut dakwah pelacur: Ustaz Ebit Lew
BACHOK - Pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew mengajak orang ramai untuk sama-sama membimbing mereka yang bergelumang dengan dosa kembali ke jalan benar.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew itu berkata, dirinya sendiri sanggup memasuki sarang pelacuran untuk dakwah golongan pelacur.
Katanya, tidak ramai yang berbuat demikian kerana berpandangan serong.
"Sepanjang tempoh dakwah mereka, saya tidak pernah menerima ugutan, tidak pernah dimarahi dan tidak pernah dikasari. Mereka memberi laluan untuk saya terus berdakwah," katanya selepas menjayakan Kem Motivasi Ebit Lew di Masjid Abrar Pauh Sembilan.
Beliau berkata, hasil daripada gerakan dakwah di sarang pelacuran sekitar ibu kota, seramai 20 orang pelacur terpanggil mengikuti motivasi khusus selama tiga hari di Port Dickson baru-baru ini.
"Mereka menitis air mata dan menganggap hari itu cukup bermakna kerana kali pertama mendirikan solat selepas puluhan tahun bergelumang dengan dunia pelacuran.
"Semoga ALLAH mengekalkan keinsafan dengan hidayahNya, tanggungjawab kita adalah meneruskan dakwah," katanya.
Menurutnya, beliau tidak berhasrat untuk berhenti dakwah pelacur dan berharap lebih ramai pelacur kembali ke pangkal jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!