Perpustakaan digital pertama dibangunkan di Kedah

Guan Eng (empat dari kanan) bersama Mukhriz (lima dari kanan) mendengar penerangan tentang pelan projek KDL yang akan dibangunkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Guan Eng (empat dari kanan) bersama Mukhriz (lima dari kanan) mendengar penerangan tentang pelan projek KDL yang akan dibangunkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Digital Library (KDL) bakal dibangunkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini dengan peruntukkan berjumlah RM15 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, projek terbabit akan menjalani dua fasa pembaharuan dan tambahan bangunan yang melibatkan keluasan tanah sebanyak 0.89 hektar secara keseluruhan.

Katanya, KDL merupakan sebuah projek yang berimpak tinggi dan mampu menjadi daya tarikan kepada orang ramai khususnya rakyat negeri ini.

"Ini adalah konsep baru di mana kita bangunkan perpustakaan yang dapat mencantumkan teknologi, seni dan warisan.

"Bangunan ini adalah warisan, ia akan menjadi satu tarikan yang amat unik yang bukan sahaja dapat tarik minat orang ramai tetapi juga dapat mencergaskan komuniti setempat," katanya kepada pemberita di sidang akhbar Lawatan delegasi Kementerian Kewangan Malaysia yang diketuai oleh beliau di sini, hari ini.

Menurutnya,walaupun Pulau Pinang terlebih dahulu mempunyai Penang Digital Library (PDL) yang tersendiri, namun KDL ini bukan bersifat 'fotostat' daripada perpustakaan tersebut.

"KDL akan merangkumi penambahbaikan yang mana akan menampilkan perpustakaan digital dalam versi yang lebih mantap dari PDL.

"Perpustakaan digital ini juga berupaya memuatkan 500 orang dalam satu-satu masa dan akan dibuka secara percuma kepada para pengunjung,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau melihat potensi projek ini ketika mengadakan lawatan ke PDL sebelum ini.

"Dari situ saya dapat lihat bagaimana pengubahsuaian bangunan bersejarah menjadi suatu tarikan kepada masyarakat di dalam dan luar Pulau Pinang untuk tujuan yang pelbagai.

"Projek ini adalah sesuatu yang baik dan mungkin aspek digital hanya sebahagian daripadanya. Bagaimanapun saya yakin ia akan menjadi lokasi kunjungan ramai untuk tujuan pembelajaran, penyelidikan dan sebagainya selepas ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!