Rakyat Malaysia cedera dalam tsunami Sunda

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Seorang rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian tsunami di Selat Sunda, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), rakyat Malaysia terbabit dikenali sebagai Khairul Umam Masduki, 31, mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian tsunami itu.

"Basarnas mendapat maklumat jam 11 pagi tadi berkenaan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kalianda," kata kenyataan itu.

Mangsa telah dibawa ke Rumah Sakit Bob Bazar Kalianda untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi berkata pihak kedutaaan sedang bekerjasama dengan pihak Basarnas bagi memberikan bantuan sewajarnya termasuk bantuan konsular kepada mangsa.

"Mangsa berasal dari Kuala Lumpur, kami masih mendapatkan maklumat lengkap berkenaan mangsa," kata jurucakap itu.

Mangsa dilaporkan berada di Kalianda ketika kejadian tsunami dan bertindak melarikan diri ke kawasan tinggi ketika kejadian tsunami itu sebelum mengalami kecederaan di kaki.

Menurut Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), tsunami yang berlaku jam 9.27 malam, Sabtu lepas itu disebabkan berlakunya gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

Artikel Berkaitan:

Tsunami itu berlaku akibat pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba.

Setakat 5 petang tadi, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia mencatatkan seramai 429 orang telah terkorban, manakala 1,485 cedera dan lebih 800 rumah musnah. Tsunami itu melibatkan empat kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!