Malaysia, Turki perlu terus kerjasama ketengah isu Palestin
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Turki seharusnya berkerjasama memastikan isu Palestin terus diketengahkan di sebalik usaha pihak tertentu untuk cuba melenyapkan perkara berkenaan.
Dr Mahathir berkata, hanya dengan cara itu, dunia akan menghargai perjuangan berdekad rakyat Palestin menentang ketidakadilan yang dihadapi mereka.
“Ada cubaan untuk melenyapkan sepenuhnya isu ini seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Bagaimanapun hakikatnya, terlalu banyak ketidak-adilan dilakukan ke atas penduduk Palestin," katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu sempena lawatan empat harinya ke Turki.
Sambil menegaskan kembali kenyataan yang dibuat beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2018, Dr Mahathir berkata, punca sebenar keganasan dalam isu Israel-Palestin adalah pembentukan Israel secara haram.
Perdana Menteri berkata, tanah rakyat Palestin dirampas pada masa itu, tanpa mempedulikan penduduk yang tinggal di situ dan tanpa mendapat sebarang pandangan awam berhubung perkara berkenaan.
“Ketika itu, tanah dirampas dan diserahkan kepada Israel tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan dan pemikiran penduduk yang tinggal di kawasan Palestin," katanya.
Dr Mahathir berkata, Israel sekurang-kurangnya perlu membenarkan penduduk Palestin yang menjadi pelarian ketika itu, kembali untuk mendapatkan semula harta benda mereka atau mempunyai dua kerakyatan serta menghentikan pembinaan penempatan di wilayah Palestin.
"Ini yang kita mahu... dan jika kita tahu di sebalik perkara ini, perkara yang mencetuskan keganasan?
"Jika kita menangani perkara ini dan mengambil tindakan menghentikan ketidak-adilan terhadap Palestin, saya fikir pasti tidak akan banyak berlaku keganaan atau mungkin tiada sebarang keganasan langsung di dunia," katanya.
Dr Mahathir turut berkata, media juga tidak benar-benar mengetengah atau menceritakan bagaimana tanah Palestin dirampas untuk membina negara Israel atau bagaimana Israel berulang-ulang kali mencabuli undang-undang antarabangsa.
"Kelihatan ada perjanjian dengan media supaya tidak menceritakan masalah sebenar rakyat Palestin. Perkara ini amat jarang diketengahkan.
"Perkara utama yang kami fikir kami harus sentiasa tekankan adalah punca sebenar keganasan," katanya.
Diminta mengulas mengenai apa yang dikatakan sebagai 'perjanjian paling hebat abad ini' yang diumumkan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, idea berkenaan hanya untuk menyerlahkan 'masalah mereka di satu pihak' dan 'mewajarkan apa saja yang mereka lakukan.' - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!