Sampai dah nampak cerucuk jambatan
KUALA KETIL - Dua operasi kuari dikenal pasti punca hakisan pasir sehingga menampakkan struktur cerucuk Jambatan Kampung Besah di sini.
Penduduk, Rozimah Ayub, 45, berkata, beberapa batang cerucuk di dua bahagian tiang jambatan berkenaan kelihatan jelas kerana hakisan pasir.
"Bila tengok keadaan jambatan tu, kita pun rasa risau. Jambatan ini dilalui ramai pengguna jalan raya terutama pelajar sekolah.
"Harap-harap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Besah hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar Mansor (B) Zakaria berkata, hasil tinjauannya mendapati dua operasi kuari pasir darat yang pernah beroperasi sebelum ini menyebabkan hakisan di jambatan berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua kuari tersebut beroperasi kurang 300 meter dari jambatan berkenaan sebelum diberhentikan kira-kira setahun lalu.
"Masalah operasi begitu hampir dengan Jambatan Kampung Besah ini pernah dibangkitkan dalam sidang DUN oleh bekas ADUN Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dua tahun lalu.
"Jarak operasi kuari dengan jambatan sepatutnya 500 meter," katanya.
Beliau berkata, walaupun operasi telah diberhentikan, jambatan berkenaan masih terancam sekiranya arus sungai deras.
"Sekiranya berlaku banjir besar, kita bimbang pokok-pokok kayu seperti balak yang dibawa arus menghentam batang cerucuk tersebut
"Selain itu, arus sungai kuat akan menyebabkan hakisan di jambatan semakin bertambah," katanya.
Katanya lagi, pihak terbabit perlu mengelakkan kuari pasir darat atau pasir sungai dijalankan berhampiran lokasi-lokasi strategik.
"Bagi operasi kuari darat khususnya, zon penampan antara sungai dan kuari perlu dijaga," katanya.
Mengulas tindakan diambil bagi mengatasi masalah di jambatan tersebut, Mansor berkata, beliau telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran dan difahamkan jambatan berkenaan masih lagi kukuh.
"Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kerja Raya juga telah maklum perkara ini. Saya yakin mereka akan mengambil langkah-langkah mengatasi masalah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!