Warga emas cedera jatuh longkang
SUNGAI BULOH - Niat seorang warga emas mahu membersihkan dahan pokok di belakang rumahnya berakhir malang apabila lelaki berusia 57 tahun itu terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter.
Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami kecederaan di kepala, selain patah kaki.
Terdahulu, mangsa dikatakan baharu selesai kerja memotong pokok sebelum terdapat beberapa dahan terjatuh ke dalam longkang.
Bimbang dahan tersebut mengganggu aliran air, dia bertindak turun ke longkang itu dengan menggunakan tangga sebelum terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, bilik gerakan menerima panggilan kejadian di Kampung Kubu Gajah itu jam 11.02 pagi.
Menurutnya, seramai lima anggota diketuai Komander Operasi, Zairul Afzan Ishak dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Jiran mangsa yang nampak mangsa turun ke dalam longkang tergerak hati menjenguk mangsa yang terlalu lama di bawah, sebelum ternampak mangsa sudah terbaring dengan kesan darah.
"Mangsa yang cedera dibawa naik menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!