49 ahli Pas sertai Amanah
BERUAS - Seramai 49 ahli Pas memilih menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas kecewa dengan jalinan kerjasama yang dibuat bersama UMNO sekali gus mewujudkan cawangan baharu di Zon Beruas.
Salah seorang ahli, Raja Rozlan Raja Yaacob berkata, keputusan itu diambil selepas perjuangan parti itu yang mula tersasar dari landasan asal ketika di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kami mula tenggelam dan melihat Amanah yang dapat selamatkan kami.
"Apabila mereka mahu bergabung dengan UMNO, perjuangan asal dilihat sudah tersasar,” katanya yang mengetuai penyerahan borang keahlian kepada Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi sekali gus merasmikan cawangan pertama Amanah Zon Beruas di Kampung Kota di sini hari ini.
Sementara itu, Asmuni berkata, penubuhan cawangan baharu itu menjadi lonjakan baharu sokongan terhadap parti.
Katanya lagi, sebelum ini kita ada cawangan di Ayer Tawar dan Pengkalan Baharu dan ini (Kampung Kota) merupakan cawangan ke-10.
"Dengan adanya cawangan baharu ini, ia akan jadi nukleus perkembangan cawangan lain dan pertambahan ahli Amanah.
“Kita menyasarkan kira-kira 50,000 ahli di Perak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan minimum satu cawangan setiap pusat daerah mengundi.
"Ia selari dengan aspirasi nasional yang disasarkan Presiden kami (Mohamad Sabu) iaitu mempunyai 500,000 ahli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!