Dua lelaki bergaduh ditemukan maut
KEPALA BATAS - [DIKEMASKINI] Dua lelaki ditemukan maut di sebuah rumah kedai di Taman Bertam Ria di sini, kira-kira jam 6.45 petang tadi.
Kedua-dua lelaki itu merupakan pekerja di sebuah restoran dan tinggal di tingkat dua rumah kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua lelaki tersebut dijumpai orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.
Menurutnya, hasil siasatan, mangsa pertama dikenali sebagai Mubarak Ali, 28, disyaki dibunuh manakala rakannya dikenali sebagai Azad Mubarakbhai, 26 ditemukan tergantung pada besi pencangkuk kipas siling.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati mayat Mubarak dalam keadaan terbaring di bilik air dipercayai dibunuh terlebih dahulu oleh Azad yang kemudiannya ditemukan tergantung pada besi pencangkuk kipas siling.
"Pemeriksaan di rumah kedai tersebut juga mendapati keadaannya berselerak dan terdapat beberapa kesan tompokan darah di beberapa bahagian.
"Kita syaki berlaku pergelutan di antara kedua-dua mangsa sebelum berlaku pembunuhan," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, difahamkan kedua-dua mangsa bertengkar ketika sedang bersiap ke tempat kerja berikutan mayat mangsa ditemukan berpakaian uniform kerja.
"Mayat mereka ditemukan rakan sekerja yang pulang ke rumah kedai terbabit untuk mencari kedua-dua mangsa. Mereka sepatutnya masuk kerja jam 5 petang namun tidak kelihatan menyebabkan majikan meminta rakan mereka mencari mangsa.
"Mubarak telah bekerja di restoran tersebut selama lima tahun manakala Azad baharu enam bulan. Mereka dipercayai sering bergaduh sebelum ini namun tidak serius," katanya.
Beliau berkata, polis menemui sebilah pisau berukuran 30 sentimeter yang terdapat kesan darah di atas meja berhampiran mangsa yang tergantung.
"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!