Petronas cari jurutera bendalir trek F1 musim 2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Lubricants International (PLI) sedang dalam misi pencarian global bagi mengisi jawatan Jurutera Bendalir Trek Petronas untuk bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport pada saingan Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1) musim depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Giuseppe D’Arrigo, berkata calon yang layak itu akan menjadi sebahagian daripada pasukan pembangunan tercanggih dalam bidang teknologi bendalir bagi pasukan juara kategori pengeluar F1 sebanyak lima kali itu.

“Di PLI, kami sentiasa dicabar untuk memperbaiki reka bentuk dan penyampaian Teknologi Bendalir Petronas canggih untuk memastikan pasukan itu sentiasa di hadapan perlumbaan.

“Kami menguji bakat bertaraf dunia dan tekonoloji bagi menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan rakan kami dalam sukan permotoran, pembuat peralatan tulen dan akhirnya pelanggan harian kami,” katanya dalam kenyataan oleh syarikat itu hari ini.

Sebagai rekod, calon kelahiran Zimbabwe, Stephanie Travers, 24, dilantik sebagai Jurutera Bendalir Trek Petronas susulan misi pencarian sulung pada tahun lalu yang telah menerima 7,000 pemohon dari seluruh dunia.

Prinsipal pasukan Mercedes-AMG Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toto Wolff, dalam kenyataan sama, berkata pasukan itu amat teruja untuk memupuk bakat-bakat baharu untuk menyertai pasukan sokongan di trek.

“Pakar bendalir Petronas memberikan kami analisis masa nyata dan pengesanan awal cabaran yang berpotensi - kepakaran teknikal yang penting,” katanya.

Peranan jurutera pasukan sokongan teknikal di trek adalah untuk memantau dan menjalankan analisis mengenai penggunaan Petronas Primax Fuel, Petronas Syntium Lubricant dan Petronas Tutela Functional Fluids bagi memastikan pematuhan penuh peraturan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan prestasi optimum bagi pasukan Mercedes-AMG.

Artikel Berkaitan:

Calon yang berminat untuk jawatan Jurutera Bendalir Trek Petronas boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman web PLI atau e-mel ptfe2020@pli-petronas.com. dan tarikh tutup permohonan adalah 25 September ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!