Utamakan janji bukan berkomplot
Politik, pentadbiran dan ekonomi tidak dapat dipisahkan. Ketiga-tiganya saling kait-mengait.
Kalau politik sesebuah negara kuat dan sihat maka lebih mudahlah bagi kerajaan mentadbir dengan baik supaya ekonomi maju dan kukuh. Inilah yang diharapkan oleh rakyat jelata Malaysia apabila sebahagian besar mereka mengundi menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pakatan Harapan (PH) lebih setahun lalu.
Mereka melihat BN sebagai tidak lagi boleh dipercayai kerana pentadbirannya yang dijangkiti rasuah dan ekonomi yang dibebani hutang. Di pihak yang lain pula, mereka percaya dengan janji-janji yang dibuat oleh PH. Maka pada 9 Mei 2018 mereka membuang BN dan mengambil PH.Apa yang dikatakan oleh PH ketika berkempen dan sebelum itu terbukti benar. Memang kerajaan BN teruk dijangkiti rasuah dan ekonomi negara lemah. Tetapi setelah lebih setahun mentadbir negara dan menerajui ekonomi, banyak orang berpendapat PH tidak sebaik yang diharapkan malah boleh jadi lebih teruk daripada BN.
Kata mereka, sekurang-kurangnya di bawah BN subsidi dan bantuan banyak. Rakyat jelata miskin tidak peduli sangat bahawa kerajaan BN korup dan pemimpinnya hidup kaya raya atas keringat dan air mata peneroka Felda dan buruh bandar raya.
Yang mereka mahu dapat subsidi dan bantuan. Mereka tidak peduli kerajaan berhutang dengan banyak dan sejumlah besar masuk poket pemimpin BN dan kroni.
Mereka tidak peduli bahawa kerajaan PH tidak mampu untuk terus bagi subsidi dan bantuan macam dulu kerana terpaksa bayar balik pokok dan bunga hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan lama.Macam saya tulis minggu lepas, hutang dan jaminan hutang ditinggalkan kerajaan BN lebih RM1 trilion atau satu juta bilion.
Hutang itu kita kena bayar balik. Kalau kerajaan mungkir, yang akan rugi adalah kita juga. Itu adalah kerana sebahagian besarnya hutang itu datangnya daripada tabung kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).
Mereka labur dalam surat hutang kerajaan dengan membeli bon konvensional atau bon syariah iaitu sukuk. Selain itu, tabung pelaburan antarabangsa pun beli juga. Macam mana susah pun kerajaan sekarang, hutang wajib dibayar balik.
Yang jadi masalah kepada kita sekarang ialah kerajaan dulu berhutang dengan banyak dan berbelanja dengan boros serta tidak ikut peraturan.
Ambil contoh macam mana ia berhutang untuk projek paip gas Sabah berharga RM4.06 bilion. Kerja baru 14 peratus siap tapi bayaran sudah mencecah 88 peratus.
Lagi teruk ialah SRC International Sdn Bhd yang asalnya milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia pinjam RM3.95 bilion daripada KWAP kononnya untuk buka lombong arang batu di Mongolia (negara mendiang Altantuya Shaariibuu) dan projek hasil bumi lain.
Tapi sampai hari ini tidak ada satu projek pun yang boleh dikesan atas nama SRC International. Sebaliknya sejumlah RM42 juta dituduh masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Mohd Najib Razak masa dia jadi Perdana Menteri.
Ada atau tidak ada hasil hutang kena bayar balik. Hingga akhir tahun lepas, kerajaan sudah bayar RM350 juta yang dipinjam daripada KWAP.
Buat masa ini, baru satu kes rasuah yang melibatkan Mohd Najib yang sedang dibicarakan iaitu kes SRC International. Kes rasuah 1MDB akan menyusul.
Memandangkan banyaknya masalah yang perlu ditangani dan diatasi, maka sangatlah penting bagi PH, khususnya anggota Kabinet, tumpukan sepenuh perhatian kepada tugas dan bukan menghabiskan masa membuat konspirasi politik atau berlakon dalam video lucah.
Yang berasa tidak berdaya untuk pikul tanggungjawab atau memenuhi nafsu luar biasa mereka lebih utama, eloklah berundur.
Amat merugikan kalau kerajaan PH menjadi kerajaan satu penggal semata-mata kerana ada pemimpin yang lebih utamakan kuasa dan nafsu berahi daripada menunaikan janji.Wallahuaklam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!