Polis rampas dadah RM900,000 dalam Op Sarang di Kota Kinabalu

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 6.87 kilogram dianggarkan bernilai RM930,883.50 dalam Op Sarang di sekitar bandar raya ini sepanjang seminggu mulai 20 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata dadah dirampas dalam tempoh operasi itu ialah syabu (5,951.49 gram), ganja (33 gram), ketamin (747 gram) dan pil eramin 5 seberat 145 gram.

Beliau berkata seramai 74 individu termasuk 13 warga asing berumur antara 15 hingga 56 tahun ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dalam 20 serbuan dijalankan sepanjang operasi berkenaan.

“Seramai lima individu ditahan atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah, 14 individu ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 55 individu lagi didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan.

“Tiga pelajar sekolah menengah dan masing-masing seorang pelajar kolej swasta serta penjawat awam turut ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah terutama dalam kalangan belia dan remaja di sekitar Kota Kinabalu bagi memelihara kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat setempat.

Orang ramai diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 220 atau menerusi media sosial Facebook IPD Kota Kinabalu dalam usaha membanteras gejala dadah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!