Surau Hamiddean Bicycle Team19, surau pertama miliki kelab basikal sendiri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf yang sedang berlangsung kini dimeriahkan lagi dengan acara pelancaran logo Surau Hamiddean Bicycle Team19 pada pagi tadi yang disempurnakan oleh Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir.

Emran dalam ucapannya berkata, inisiatif penubuhan kelab basikal daripada ahli kariah surau adalah yang pertama padanya pernah diwujudkan.

Menurutnya, aktiviti tersebut boleh dijadikan aspirasi dan contoh kepada surau atau masjid lain untuk mengikutinya kerana ia banyak manfaatnya.

“Penglibatan ahli yang terdiri daripada warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim tetapi menjadikan badan lebih cergas serta sihat.

“Ia turut sesuai dengan hasrat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengadakan hari bebas kenderaan pada minggu kedua setiap bulan dan hanya membenarkan penggunaan basikal sahaja di sekitar bangunan MBSA,” katanya.

Sementara itu, Penaung Kelab tersebut, Hassan Arof, 62 berkata, pihaknya berterima kasih kepada Karangkraf kerana menyambut baik hasrat kelabnya untuk melancarkan logo kelab di Karangkraf yang juga bersempena Jualan Gudang Karangkraf kali ini.

Emran Kadir menerima logo selepas pelancaran logo Surau Hamiddean Bicycle Team 19 sempena Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Emran Kadir menerima logo selepas pelancaran logo Surau Hamiddean Bicycle Team 19 sempena Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

“Dengan adanya logo ini, ia akan lebih memberi semangat kepada jemaah surau dan kariah yang berdekatan Surau Hamiddean, Seksyen 19, Shah Alam untuk menyertai aktiviti berbasikal yang diwujudkan ini.

Artikel Berkaitan:

“Kelab ini telah wujud sejak setahun lalu dan ia terdiri daripada imam, bilal, Ahli Jawatankuasa surau serta anak-anak kariah surau,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan berkata, ada tiga kumpulan yang bergabung bagi menjayakan logo tersebut.

“Pertama kumpulan veteran berumur 50 tahun ke atas yang terdiri daripada imam surau serta bilal. Kedua anak-anak kariah, dan ketiga adalah kumpulan basikal wanita Surau Hamiddeen.

“Kami yang hampir 30 peserta memulakan kayuhan tadi dari surau Hamiddean dan tiba di Karangkraf pada jam 9.50 pagi tadi. Aktiviti ini akan kami teruskan di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap, dengan adanya logo tersebut, kariah sekitar berdekatan akan sertai mereka untuk bersama-sama beriadah sambil menjaga kesihatan di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!