Dua suspek pecah masuk stesen minyak diburu

Lim Chee Khoon
Lim Chee Khoon
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis memburu dua suspek susulan kes pecah masuk sebuah stesen minyak di Jalan Bunga Raya, Sungai Besar, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian jam 6.30 pagi itu disedari seorang pekerja apabila dinding cermin stesen minyak itu pecah.

"Pekerja kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengusaha stesen minyak mengenai kejadian terbabit.

"Pengusaha yang terkejut bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati wang tunai RM2,000 dan dua botol minyak pelincir empat liter kereta dilesapkan pencuri terbabit," katanya.

Chee Khoon berkata, semakan polis pada kamera litar tertutup mendapati seorang lelaki memasuki premis itu manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta jenis Proton Satria.

Menurut beliau, empat cap jari turut ditemui polis di lokasi kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku awal pagi kerana premis beroperasi dari jam 6.30 pagi dan ditutup pada jam 10 malam.

"Kes disiasat sebagai pecah masuk kedai mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!