Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri bukan menekan pemandu

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berucap pada majlis dialog pemandu teksi, bas, dan kereta sewa Kedah mengenai Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berucap pada majlis dialog pemandu teksi, bas, dan kereta sewa Kedah mengenai Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

ALOR SETAR - Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas persendirian bukan bertujuan untuk menekan golongan itu sebaliknya bagi melindungi mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, skim itu yang disediakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan insentif bagi menjaga kebajikan pemandu dan keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa bekerja.

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat sebagai menekan mereka tetapi ia adalah untuk melindungi mereka sekeluarga tetapi mungkin masih ada yang kurang jelas.

“Sebab itu, Perkeso pergiatkan lagi usaha dengan turun ke semua negeri untuk beri taklimat dan penjelasan mengenai skim berkenaan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program dan sesi dialog mengenai skim itu bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah negeri Kedah.

Menurutnya, sehingga 24 Julai lepas hanya 26,653 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim tersebut dan angka itu dilihat sangat sedikit berbanding jumlah keseluruhan pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang ada di negara kita iaitu 318,283 orang.

Sementara itu, Mahfuz berkata, walaupun terdapat beberapa rungutan daripada pemandu semasa sesi dialog diadakan hari ini, ada juga antara mereka yang bersedia mencarum skim tersebut bagi menerima manfaatnya.

"Antara rungutan ialah kesukaran untuk pemandu hadir ke pejabat Perkeso setiap kali mahu membuat caruman bulanan. Jadi selepas perbincangan, Perkeso dan persatuan pemandu bersetuju untuk turun padang sekali sebulan sebagai usaha untuk memudahkan pemandu bayar caruman.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi, saya cadangkan kalau tidak boleh bayar setahun, paling tidak buat bayaran tiga bulan terus kerana kalau setiap sebulan pegawai Perkeso hendak turun ke kawasan mereka susah sebab tidak cukup kakitangan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!