Tapak pelupusan sampah disita

Kok Yew membuat pemeriksaan ke atas tapak pelupusan sampah di Kampung Kemumbung Sidam Kiri.
Kok Yew membuat pemeriksaan ke atas tapak pelupusan sampah di Kampung Kemumbung Sidam Kiri.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah menyita tapak pelupusan sampah berkeluasan 17,033.92 meter persegi dekat Kampung Kemumbung, Sidam Kiri kerana didakwa beroperasi tanpa kelulusan.

Exco Kerajaan Tempatan, Tan Kok Yew berkata, tindakan menyita berkuat kuasa semalam susulan lawatan ke tapak pelupusan yang dibuat bersama agensi terlibat petang semalam.

Menurutnya, proses sitaan bertujuan menjalankan siasatan lanjut memandangkan operasi melupuskan sampah di kawasan terbabit disyaki dilakukan di kawasan tidak dibenarkan.

"Untuk tindakan serta-merta, kita telah sita kawasan ini dan satu mesyuarat diadakan jam 5 petang ini untuk membincangkan perkara berkenaan membabitkan agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata, tindakan diambil berdasarkan Seksyen 81(3) Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam).

Lokasi tapak pelupusan sampah yang disyaki beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.
Lokasi tapak pelupusan sampah yang disyaki beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, berdasarkan hasil risikan, kebanyakan lori yang menghantar sisa sampah di tapak berkenaan adalah lori yang melakukan kutipan di kawasan kilang.

"Sampah ini dipercayai dari premis komersial dan industri sekitar Sungai Petani, Kulim dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan lori memilih lokasi berkenaan dipercayai berikutan kesesakan di Tapak Pelupusan Semeling dan peraturan di tapak pelupusan yang tidak menerima sesetengah sisa terutama sisa binaan dan industri," katanya.

Difahamkan, tapak terbabit dikendalikan individu selain berstatus persendirian, menerima kira-kira 30 buah lori sehari dengan bayaran antara RM20 hingga RM40 selori bagi melupuskan sisa pepejal yang merangkumi sampah pakaian, plastik makanan, komponen kenderaan, sisa plastik import serta lain-lain.

Pemerhatian di tapak pelupusan yang terletak dalam kawasan perkampungan serta bersebelahan Sungai Muda itu juga mendapati terdapat longgokan kulit durian dalam jumlah banyak, botol plastik, sisa kayu dan pelbagai jenis sampah lain dibuang ke kawasan terbabit secara bercampur-aduk sehingga menimbulkan bau kurang enak dan persekitaran udara tidak selesa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!