Rumah dihuni 13 penyewa musnah terbakar
DUNGUN - "Terkejut tengok api marak jilat rumah jiran sebelah, pakcik cepat-cepat keluarkan tong gas memasak sebab takut rumah pakcik meletup kalau api merebak," kata buruh, Mat Daud Ismail, 51.
Mat Daud menjadi saksi melihat sebuah rumah jirannya yang dihuni 13 penyewa musnah dalam kebakaran di Kampung Limbong, Bandar Paka, di sini jam 11.50 pagi hari ini.
Kebakaran itu mengakibatkan rumah papan yang baharu dua hari dimasuki kesemua penyewa terbabit yang juga pekerja kontrak syarikat minyak dan gas musnah hampir 100 peratus dan sebuah motosikal rentung menyebabkan kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Mat Daud berkata, tong gas memasak menjadi barang pertama dikeluarkan dari rumahnya kerana bimbang rumahnya meletup disebabkan api marak membakar rumah jirannya kelihatan seperti mahu menyambar bahagian dapur kediamannya.
Menurutnya, sebelum menyedari kejadian, dia sedang berehat di rumah dan terperanjat apabila seorang rakannya yang baru pulang dari sebuah kedai makan memberitahu melihat api dari dalam sebuah bilik rumah jirannya itu.
"Pak cik keluar rumah dan tengok kepulan asap tebal keluar dari rumah jiran sebelum nampak api sambar dinding kayu luar rumah itu.
"Sekelip mata saja, api itu jadi makin besar dan terus merebak ke seluruh rumah tersebut dan buatkan pak cik panik kerana jarak dapur pakcik dengan rumah terbakar itu memang dekat, cuma empat meter jadi pakcik takut api sambar dapur," katanya.
Katanya, selepas mengeluarkan tong gas, dia menyelamatkan dokumen penting dan beberapa lagi barang lain yang sempat dicapai.
Menurutnya, semasa dia sedang bertungkus-lumus mengeluarkan barang berharga dari rumahnya, dia turut merasai bahang panas kerana rumah jirannya itu sudah dimamah api keseluruhannya.
"Namun, saya bersyukur api tak sambar rumah saya sebab bomba cepat sampai dan api juga padam dengan cepat," katanya lega.
Katanya, dia terlebih dahulu menghubungi bomba sebaik sahaja melihat kebakaran berkenaan berlaku.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota dan sebuah jentera sejurus menerima panggilan pada jam 11.58 pagi.
Pihaknya turut dibantu seramai tujuh anggota bersama dua buah jentera dari BBP Dungun.
"Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.25 tengah hari sebelum padam sepenuhnya pada jam 1.20 tengah hari.
"Sekarang, kita sedang jalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!