KLANG - Taktik 'pelaris' sebuah pusat hiburan di Taman Eng Ann, di sini, yang menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) untuk menarik kehadiran pengunjung dibongkar. Pembongkaran itu dibuat sepasukan polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Noda, kelmarin. Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, operasi dijalankan pada jam 11.30 malam hasil maklumat dan risikan. "Tujuh wanita warga asing berusia lingkungan 30-an disyaki GRO berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri. Semakan lanjut mendapati wanita tersebut adalah warga Vietnam yang dipercayai digajikan oleh premis tersebut bagi melayan pelanggan minum dan berhibur. "Selain itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an merupakan penjaga premis," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Mengulas lanjut, tambah Azmi, siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai mula aktif sejak tiga bulan, namun tetap beroperasi biar pun telah diserbu pada bulan lalu. "Kita percaya GRO ini mampu mengaut tip berjumlah RM300 hingga RM500 bagi satu malam bergantung kepada layanannya kepada pelanggan," katanya. Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.