Tambakan laut isu utama sidang Parlimen: Najib

Najib meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar tadi.
Najib meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Isu projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan akan menjadi keutamaan barisan pembangkang dalam sidang Parlimen akan datang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang akan menggunakan semua saluran yang ada termasuk menerusi perundangan untuk menolak projek berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan menggunakan semua saluran termasuk media sosial dalam membangkitkan kesedaran orang ramai mengenai kesan projek mega itu.

"Kita akan membangkitkan isu tambakan laut PSR ini secara khusus dan menyatakan pendirian menolak projek tersebut dalam sidang Parlimen akan datang.

"Kita akan guna semua saluran yang ada termasuk media sosial bagi membangkitkan kesedaran orang ramai berhubung kesan dan risiko daripada projek itu khususnya kepada nelayan dan ekosistem laut negeri ini," katanya pada media sebentar tadi.

Terdahulu, Najib bertemu nelayan dan meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar di sini.

Najib (duduk, tengah) sedang mendengar keluhan nelayan ketika bertemu nelayan dan meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar.
Najib (duduk, tengah) sedang mendengar keluhan nelayan ketika bertemu nelayan dan meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar.

Najib berkata, beliau menolak projek pembuatan tiga buah pulau itu kerana difahamkan ia akan menjejaskan mata pencarian lebih 4,000 nelayan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu saya tentang projek ini selepas mengambil kira ia akan menjejaskan ribuan nelayan di Pulau Pinang. Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat mengkaji semula cadangan ini kerana kesannya terlalu buruk kepada kehidupan nelayan.

"Cadangan projek ini pernah dibangkitkan ketika BN berkuasa dahulu, namun kita tidak pernah bersetuju atau meluluskan projek tambak laut tersebut.

"Ini kerana, kita tidak mahu menjejaskan kehidupan nelayan terlibat, malah kerajaan BN meletakkan kepentingan nelayan sebagai keutamaan apabila memberi elaun sara hidup RM300 tetapi kini ia dipotong kepada RM200 oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan)," katanya.

Jun lalu, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan projek PSR dengan 72 syarat kepada Kerajaan Pulau Pinang.

Projek PSR melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah dan ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi transit aliran ringan (LRT), monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada 2050.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Mohamad Ismail Ahmad berkata, dia dan rakan-rakannya berharap usaha barisan pembangkang membawa isu tambakan itu ke Parlimen akan membuahkan hasil.

"Kami berharap usaha Najib ini akan memberi pembelaan sewajarnya kepada nelayan terutamanya di Teluk Kumbar. Kami tetap akan tolak projek ini walaupun kerajaan negeri bercadang untuk mengecilkan skala dan saiz pulau-pulau tersebut.

"Projek ini langsung tidak memberi manfaat kepada nelayan kerana ia akan menyebabkan mata pencarian dan masa depan kami musnah," katanya.

Katanya, kawasan laut akan turut dipenuhi lumpur akibat kerja-kerja mengorek dan memindahkan pasir, sekali gus sumber laut seperti ikan, udang serta ketam akan terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!